KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa, nawaitu (niat) sebenar Pas ialah untuk tidak membenarkan Bersatu bertanding satu kerusi pun atas logo Perikatan Nasional (PN).
“Jadi, apa pilihan Bersatu? Bertanding guna logo sendirilah,” tegasnya.
Menurut Marzuki, parti ditubuhkan untuk bertanding dalam pilihan raya. Ini termaktub dalam tujuan menubuhkan parti dalam Perlembagaan mana-mana parti politik.
“Jika tiada tujuan masuk bertanding dalam pilihan raya dalam perlembagaannya, pertubuhan itu bukan parti politik. Itu NGO.
“Bersatu adalah parti politik. Jadi, takkan Bersatu tak boleh bertanding?
“Dia ibarat macam ini lah. Bila awak jadi tuan rumah PN, awak kunci Bersatu dalam bilik.
“Bila Bersatu tendang pintu rumah untuk membebaskan diri, awak tuduh Bersatu merosakkan harta benda. Ini sifat pembuli,” tempelak beliau.
Mengulas lanjut Marzuki berkata, Ketua Penerangan PN Tan Sri Annuar Musa kata Bersatu tuntut 15 kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan PN tidak dapat penuhi tuntutan tersebut.
“Dia nak beritahu Bersatu tuntut terlalu banyak kerusi. Kemudian dia kata kalau ada parti ketiga yang bertanding melawan PN/BN dan PH, parti ini nawaitunya nak memecahkan penyatuan dan mesti dihukum.
“Dia nak tuduh kalau Bersatu bertanding dalam PRN Negeri Sembilan, Bersatu nak memecahkan penyatuan Melayu lah tu.
“Pas dah 75 tahun melawan Umno. Tak pula dituduh memecahkan penyatuan Melayu.
“Baru dua tiga hari memeluk Umno, dah tuduh orang yang melawan Umno dan Pas memecahkan penyatuan Melayu. Logik apa ini?
“Runding kerusi bawa wish list berapa banyak kerusi pun itu biasalah. Bila dirunding daripada 15 kerusi yang dapat 5 atau 6 kerusi sahaja. Ini adat berunding.
“Tetapi masalahnya rundingan dengan Bersatu dihentikan tanpa sebab yang munasabah.
“Nawaitu yang sebenarnya ialah untuk tidak membenarkan Bersatu bertanding satu kerusi pun atas logo PN,” dakwanya.



