KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengumumkan akan meletakkan calon-calonnya sendiri menggunakan simbol parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas mendakwa rundingan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) gagal dimuktamadkan susulan tindakan PAS mengadakan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN).
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 12 Julai lalu terpaksa ditangguhkan kerana PAS mengambil pendirian untuk mengadakan kerjasama politik dengan BN.
Menurut beliau, BERSATU berpandangan sebarang keputusan yang melibatkan dasar dan hala tuju gabungan itu sepatutnya dibincangkan serta dipersetujui terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi PN.
Katanya, sehingga kini Majlis Tertinggi PN masih belum dipanggil bermesyuarat, manakala Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi PN turut ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu bagi memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti anggota gabungan itu.
Muhyiddin menyifatkan kegagalan Pengerusi PN memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi ketika gabungan itu berdepan PRN Negeri Sembilan sebagai sesuatu yang dikesali dan bercanggah dengan Perlembagaan PN.
Sehubungan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang bermesyuarat malam ini memutuskan untuk merakamkan rasa kesal terhadap tindakan PAS mengadakan rundingan dengan BN tanpa melibatkan semua parti anggota PN dan tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN.
BERSATU turut melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan unilateral PAS yang menurutnya bertentangan dengan kepentingan PN, termasuk kenyataan pimpinan PAS yang memberikan kemenangan kepada BN dalam PRN Johor dan kini PRN Negeri Sembilan tanpa persetujuan Majlis Tertinggi gabungan itu.
Susulan perkembangan tersebut, Muhyiddin berkata BERSATU akan meletakkan calon-calonnya sendiri pada PRN Negeri Sembilan dan semua calon parti itu akan menggunakan simbol BERSATU.
Beliau turut memaklumkan MPT BERSATU bersetuju memberikan mandat kepada Presiden parti untuk membenarkan calon daripada beberapa parti politik lain menggunakan simbol BERSATU pada PRN Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan sama, Muhyiddin mendakwa PN yang dipimpin PAS telah menyimpang daripada matlamat dan dasar perjuangan gabungan itu serta berkata beberapa kenyataan pemimpin PAS mutakhir ini menimbulkan kesangsian dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda, terhadap komitmen PN mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang aman dan harmoni.
Beliau menegaskan BERSATU akan terus kekal sebagai parti yang sederhana dan progresif, mendukung nilai kepelbagaian kaum, agama, budaya dan adat resam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara, di samping memperjuangkan dasar yang menyokong kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Muhyiddin turut menyeru pengundi Negeri Sembilan supaya memberikan sokongan kepada calon-calon BERSATU pada PRN akan datang.



