Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) mempelawa jurutera, profesional industri, ahli akademik, pelajar, agensi kerajaan serta semua pihak yang berkaitan dengan bidang kejuruteraan untuk menyertai Konvensyen Kejuruteraan Kebangsaan 2026 (National Engineering Convention 2026 – NEC 2026) yang akan berlangsung di Royale Chulan, dekat sini pada 17 hingga 20 Ogos ini.
LJM dalam kenyataan berkata, NEC 2026 bertemakan ‘Engineering with Integrity in the Digital Age’, merupakan platform utama yang menghimpunkan komuniti kejuruteraan bagi berkongsi pengetahuan, membincangkan isu-isu semasa industri serta meneroka inovasi dan teknologi yang bakal membentuk landskap kejuruteraan masa kini.
“Konvensyen ini dijangka menghimpunkan lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada jurutera profesional, jurutera siswazah, jurutera teknologis, ahli akademik, penggubal dasar, pemain industri, pelajar serta wakil badan profesional dari dalam dan luar negara,”kata kenyataan itu.
Katanya, sepanjang empat hari penganjuran NEC 2026, peserta akan berpeluang mengikuti pelbagai program dan sesi berimpak tinggi termasuk seminar teknikal, forum, bengkel, sesi libat urus, perkongsian kepakaran daripada pakar industri serta peluang membina rangkaian profesional dengan komuniti kejuruteraan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Antara program utama yang akan berlangsung ialah, Seminar NEC 2026 ; Forum ASEAN Chartered Professional Engineers (ACPE); AccreNova2026 – International Accreditation Engineering Forum (IAEF); Bengkel Construction Design Management (CDM); dan Bengkel Environmental, Social and Governance (ESG).
“Selain itu, Sesi Libat Urus bersama Jurutera Siswazah, Jurutera Teknologis dan Inspector of Works (IOW); Future Engineering Talents Gateway; serta BEM Young Engineering Innovation Trophy,”katanya lagi.
Ujarnya, peserta juga akan mendapat pendedahan kepada pelbagai topik strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, transformasi digital, pembangunan profesional berterusan (CPD), keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH), amalan kejuruteraan berintegriti serta cabaran dan peluang industri kejuruteraan pada masa hadapan.
“LJM percaya penganjuran NEC 2026 akan terus memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri, institusi akademik dan badan profesional dalam melahirkan modal insan kejuruteraan yang kompeten, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran era digital, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, orang ramai yang berminat dipelawa untuk mendaftar segera kerana tempat adalah terhad dan sambutan amatlah menggalakkan. Pendaftaran kini dibuka, dan boleh dilayari melalui, nec.bem.org.my
“Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada konvensyen kejuruteraan berprestij di Malaysia. Daftar hari ini dan sertai komuniti yang memacu kecemerlangan kejuruteraan negara,” tambahnya lagi. SUARA.TV



