KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, harga minyak di Malaysia ini lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi.
Kata Anwar, itu adalah fakta yang pertama yang harus diingat.
“Kita kata mengapa dulu kita kata turunkan dan tak boleh turun lebih daripada ini? Jangan kita banding dengan negara-negara yang bukan pengeluar minyak, yang tinggi harganya. Harus banding dengan Qatar dan Saudi.
“Yang Berhormat Hulu Terengganu, harga minyak di Malaysia ini lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi. Itu dia fakta yang pertama yang harus diingat. Cananglah bagaimanapun, kenyataannya sekarang.
“Harga minyak kita lebih rendah, betul. Masa kita minta turun sikit RM1.50, harga minyak di Arab Saudi RM0.50. Sekarang kita sikit RM1.99, harga di Arab Saudi lebih daripada RM2.40. Dan Qatar malah UAE dua bulan lalu menaikkan harga minyak. UAE pengeluar minyak dan gas terbesar.
“Jadi ini kenyataan ekonomi yang berubah. Jadi kalau katakan, saya janji dulu minyak harus lebih rendah dari Arab Saudi, sudah ditunaikan,” ujar Anwar pada Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Tambah Menteri Kewangan itu lagi, kalau dibangkitkan tentang masa pentadbiran Datuk Seri Najib benar tidak pernah berlaku pun naik minyak diesel sehingga RM6.10 namun hari ini RM4.70 yang tidak ada subsidi.
“Tetapi saya sebut tadi konteks betul. Dari segi dana pembiayaan keseluruhannya, itu sekarang jauh lebih tinggi.
“Yang Berhormat. Saya baca tadi, sebahagiannya tentang STR dan SARA, kemudian petroleum RON95 dan juga BUDI Diesel.
“Keseluruhannya bantuan itu jauh lebih tinggi daripada sebelumnya, kenyataan.
“Tapi saya tidak mahu bandingkan, keadaan itu mungkin berbeda dan pendapatan negara pun jauh lebih berkurangan daripada sekarang. Yang soal sekarang ini maknanya kalau berbeda ini saya sebutkan.
“Tapi kalau Yang Berhormat Hulu Terengganu merasakan ada cadangan lain tentang bagaimana boleh turunkan harga, saya boleh timbangkan. Saya tak ada masalah, kerana saya patut dengar dan saya setuju.
“Walaupun kita dalam MTEN sebelum ini mesyuarat tiap minggu, sekarang kurang sikit sebab kita tengok keadaan dah lebih terkawal.
“Tetapi, saya tidak pernah mengatakan bahawa kita punyai semua ubat yang mujarab dalam ekonomi dan kita harus dengar dan kita ubah suai. Itu yang sebabnya mengapa dalam mesyuarat-mesyuarat kita, kita tidak hanya panggil menteri. Kita panggil wakil-wakil syarikat, wakil pekebun,
dan mendengar pandangan mereka untuk kita ubah suai di mana yang mampu,” jelas Anwar.
Tentang mendengar suara rakyat, kita dengar suara rakyat,” kata beliau lagi.
“Saya percaya rakyat juga mahu kestabilan. Rakyat juga mahu ekonomi berkembang. Rakyat pun mahu jangan kita hanya berpolitik sepanjang masa.
“Jadi bagilah masa, kita ada mandat, sampai pilihan raya, bertempurlah pula. Saya tak ada masalah itu. Cuma jangan-jangan….masing-masing. Saya pun tak mahu terlalu yakin dan saya anggap Hulu Terengganu pun jangan terlalu yakin. Kerana kita, fatawakkal ‘alallah, innallaha yuhibbul mutawakkilin,” ucap Anwar.



