KUALA LUMPUR,– Pengasas jenama produk kesihatan Kuffee, Yuniey Iuniey atau lebih dikenali sebagai Madam Yuniey, mendakwa syarikatnya mengalami kerugian melebihi RM500,000 susulan kegiatan penjualan produk melalui pasaran gelap yang dipercayai membabitkan kakitangan syarikat serta rangkaian tertentu.
Beliau berkata, siasatan dalaman mendapati berlaku pemalsuan terhadap produk Kuffee yang didakwa melibatkan pengurusan kilang dan kakitangan di cawangan Kota Bharu, Kelantan sehingga menjejaskan reputasi jenama serta kepercayaan pengguna.
Perkara itu didedahkan dalam satu sidang media di Restaurant Hadramawt Kitchen, Jalan Ampang, di sini, hari ini.
Menurut Madam Yuniey, syarikat mula mengesan masalah berkenaan sekitar Mac lalu selepas menerima pelbagai aduan daripada pengguna di media sosial yang mendakwa keberkesanan produk tidak lagi seperti kebiasaan.
Susulan itu, syarikat mengambil keputusan menghentikan sementara pengeluaran produk sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan pengguna dan memelihara integriti jenama.
Beliau berkata, semua tindakan berkaitan termasuk laporan kepada pihak berkuasa dan tindakan undang-undang telah diserahkan kepada peguam syarikat untuk tindakan lanjut.
Katanya, syarikat kini sedang membangunkan semula produk Kuffee dengan pembungkusan baharu serta penambahbaikan formulasi sebelum dipasarkan semula.
Madam Yuniey turut mengakui terdapat kelemahan dalam aspek pengurusan dalaman yang membuka ruang kepada insiden itu berlaku, justeru proses penstrukturan semula akan dilaksanakan melibatkan sistem pengurusan, kawalan operasi dan rangkaian ejen jualan.
Beliau menegaskan syarikat tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau ejen yang didapati terbabit dalam aktiviti pasaran gelap dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terlibat.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya hanya mendapatkan produk Kuffee daripada ejen rasmi yang akan diumumkan syarikat dalam masa terdekat bagi mengelakkan menjadi mangsa produk yang disyaki palsu.



