KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menganugerahkan kontrak tempoh enam tahun bagi program pengeluaran Pasport Malaysia dan MyKad versi baharu kepada syarikat tempatan, NexG, disifatkan sebagai satu langkah komersial yang pragmatik serta bertanggungjawab daripada sudut pengurusan fiskal negara.
Penganugerahan yang berorientasikan kepentingan strategik jangka panjang itu bukan sahaja membolehkan kerajaan mencatatkan penjimatan kos yang signifikan, malah mengelakkan komitmen pembiayaan awam berskala besar yang boleh memberi tekanan kepada kedudukan kewangan semasa.
Selain meminimumkan risiko pelaksanaan, langkah ini juga dilihat berupaya memperkukuh aspek keselamatan nasional serta menjamin kelangsungan penyampaian dua program identiti nasional paling kritikal tanpa sebarang gangguan rantaian bekalan.
Sifar Pembiayaan Kerajaan & Penjimatan Fiskal
Berbeza dengan cadangan alternatif yang dikemukakan pihak lain, bidaan daripada NexG sepenuhnya tidak melibatkan permohonan pinjaman mudah (soft loan) daripada pihak kerajaan yang dianggarkan mencecah RM600 juta.
Ketiadaan keperluan pembiayaan ini secara langsung menghapuskan satu komitmen kewangan yang besar, sekali gus membolehkan dana awam dialihkan untuk membiayai keutamaan nasional lain yang lebih mendesak demi kesejahteraan rakyat.
Dari segi kecekapan kos, cadangan NexG menawarkan struktur harga yang amat kompetitif dan dianggarkan memberi penjimatan langsung sebanyak RM760 juta kepada kerajaan meliputi kedua-dua dokumen berkenaan.
Bagi program MyKad, bersandarkan kepada unjuran sekitar 25 juta kad yang berada dalam edaran, NexG menawarkan kadar harga RM40 seunit berbanding bidaan pesaing iaitu RM68 seunit. Perbezaan harga sebanyak RM28 seunit itu menyumbang kepada penjimatan kos sekitar 41 peratus atau nilai komulatif mencecah RM700 juta bagi keseluruhan kitaran penggantian.
Sementara itu, bagi program pasport pula, kecekapan operasi NexG membolehkan penjimatan kos sebanyak RM5 bagi setiap naskhah. Berdasarkan anggaran pengeluaran tahunan purata sebanyak 2 juta pasport, kerajaan mampu menjimatkan RM10 juta setahun, atau RM60 juta sepanjang tempoh kontrak enam tahun.
Rekod Prestasi dan Kelangsungan Operasi
Sebagai pemain industri yang berpengalaman, NexG mempunyai rekod prestasi yang teruji dalam membekal serta menyokong sistem dokumentasi identiti nasional bersekuriti tinggi di Malaysia, termasuk pembangunan e-Pasport dan MyKad yang diiktiraf di peringkat global.
Syarikat berkenaan turut membangunkan sistem pengecaman wajah proprietari tempatan yang kini telah diintegrasikan di pintu masuk antarabangsa utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 2 KLIA, serta pos kawalan imigresen Johor Bahru.
Langkah itu bukan sahaja mempertingkat kecekapan urusan imigresen dan mengurangkan kesesakan di pintu masuk, malah membolehkan kerajaan memperluas akses laluan automatik (autogate) kepada pengembara dari 63 buah negara termasuk Singapura, China, dan India, serta golongan diplomat asing.
Infrastruktur sedia ada dan pengetahuan institusi yang mendalam dimiliki syarikat tempatan ini dilihat menjadi faktor utama dalam meneutralkan risiko pelaksanaan (execution risk), sekali gus menjamin perkhidmatan awam kaunter hadapan beroperasi tanpa gangguan teknikal.
Memelihara Kedaulatan dan Data Nasional
Memandangkan MyKad dan Pasport Malaysia merupakan dokumen keselamatan negara yang paling sensitif, penganugerahan projek kepada syarikat senaraian awam tempatan yang diterajui dan dikawal sepenuhnya oleh Bumiputera Malaysia ini memberikan kelebihan strategik.
Ia memastikan kerajaan mengekalkan kawalan mutlak ke atas infrastruktur identiti kritikal, menjamin perlindungan serta penempatan data sensitif rakyat secara lokaliti, dan meminimumkan kebergantungan terhadap entiti kawalan asing.
Sebaliknya, penglibatan konsortium asing yang tidak mempunyai pengalaman domestik yang mendalam dikhawatiri boleh mendedahkan operasi kepada risiko integrasi teknologi, pematuhan regulasi tempatan, dan gangguan rantaian bekalan luar yang sukar dikawal.
Pilihan kerangka kontrak selama enam tahun berbanding konsesi jangka panjang (10 tahun) juga disifatkan sebagai langkah fleksibel.
Ia membolehkan kerajaan menilai prestasi syarikat dengan lebih awal, mengekalkan pasaran perolehan yang kompetitif, serta tangkas mengintegrasikan teknologi keselamatan baharu pada masa hadapan selaras dengan evolusi keselamatan global.
Secara keseluruhannya, analisis terhadap keputusan penganugerahan ini menunjukkan imbangan yang komprehensif antara perlindungan fiskal pembayar cukai, tadbir urus korporat yang sihat, dan pemeliharaan aspek kedaulatan digital negara.



