KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) tidak pernah mengeluarkan arahan membatalkan projek pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak, sebaliknya penangguhan kontrak baharu dibuat bagi mengelakkan tunggakan bayaran kepada kontraktor terus meningkat.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dakwaan bahawa kerajaan sengaja mengurangkan peruntukan pembangunan jalan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak, adalah tidak berasas apabila perbelanjaan bagi tujuan itu sebenarnya meningkat hampir tiga kali ganda.
Menurut beliau, bagi tempoh lima tahun antara 2018 hingga 2022, perbelanjaan pembangunan jalan luar bandar berjumlah RM3.7 bilion, berbanding RM11 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2027.
“Daripada RM3.7 bilion kepada RM11 bilion. Hampir tiga kali ganda.
“Di Sabah dan Sarawak sahaja, perbelanjaan sebenar jalan luar bandar tahun ini mencecah RM1.41 bilion, tertinggi dalam tempoh 10 tahun. Sejak 2023, sebanyak RM4.6 bilion telah dibelanjakan,” katanya menerusi satu rakaman video yang menjelaskan isu berkenaan.
Beliau berkata, kira-kira separuh daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan jalan luar bandar negara setiap tahun disalurkan kepada Sabah dan Sarawak.
“Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan. Sabah dan Sarawak didahulukan,” tegasnya.
Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan terdapat projek pembangunan jalan luar bandar yang dibatalkan serta gesaan supaya MOF menarik balik arahan berkenaan.
Mengulas punca penangguhan kontrak baharu, Zafrul menjelaskan bahawa sejak 2022, perbelanjaan pembangunan jalan luar bandar setiap tahun telah melebihi peruntukan asal yang diluluskan Parlimen.
Katanya, komitmen kontrak yang terus bertambah menyebabkan berlakunya tunggakan bayaran kepada kontraktor sehingga memerlukan campur tangan Kementerian Kewangan.
“Apabila sebuah kementerian membuat komitmen melebihi peruntukan yang diluluskan, MOF terpaksa mencari jalan untuk menampungnya.
“Dalam kes ini, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan menyalurkan perbelanjaan tambahan RM500 juta bagi tahun 2026 hasil penjimatan daripada peruntukan pembangunan kementerian lain supaya tunggakan kepada kontraktor dapat dijelaskan,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa MOF bertanggungjawab mengimbangi keperluan perbelanjaan semua kementerian termasuk sektor kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar.
Sehubungan itu, penangguhan kontrak baharu tidak seharusnya disalahertikan sebagai pembatalan projek yang telah diluluskan atau sedang dilaksanakan.
“MOF tidak pernah mengeluarkan arahan membatalkan projek. Kontrak baharu ditangguhkan bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat.
“Itu dua perkara yang berbeza. Sebab itulah kewangan negara mesti diurus dengan cermat. Bukan sekadar meluluskan projek tetapi memastikan ada peruntukan yang mencukupi untuk membayarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Zafrul mengakui masih banyak kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak memerlukan kemudahan jalan raya yang lebih baik.
Justeru, katanya, Belanjawan 2027 terus menyediakan peruntukan RM2.27 bilion bagi pembangunan jalan luar bandar, selain RM34.9 bilion untuk Sabah dan Sarawak yang merupakan peruntukan tertinggi antara semua negeri.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan isu pembangunan Sabah dan Sarawak sebagai modal politik.
“Sabah dan Sarawak tidak wajar dijadikan modal politik oleh sesiapa. Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, peruntukan sahaja tidak mencukupi tanpa tadbir urus yang baik.
“Yang penting, projek dilaksanakan, kontraktor dibayar dan rakyat mendapat manfaat. Itulah keutamaan kita,” katanya.
– SuaraTV



