KUALA LUMPUR – Johor membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) masih mempunyai daya saing.
Namun kini cabarannya ialah menterjemahkan keyakinan itu di Negeri Sembilan melalui strategi yang tepat, kerjasama yang kukuh dan fokus untuk memenangi kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.
Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak bagaimanapun mengingatkan, di Johor, BN mempertahankan kerajaan negeri, manakala di Negeri Sembilan, PH ialah kerajaan penyandang.
“Isu tempatan, sentimen pengundi dan persoalan calon Menteri Besar juga boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.
“Jika matlamatnya adalah untuk membentuk kerajaan, rundingan kerusi perlu berasaskan kebolehmenangan. Dalam sistem first-past-the-post, pertandingan pelbagai penjuru hanya akan memecahkan undi.
“Agihan kerusi hendaklah mengambil kira kekuatan parti di setiap DUN, rekod pilihan raya, keupayaan jentera, kualiti calon serta sumbangan setiap parti kepada gabungan.
“Kejayaan tidak diukur berdasarkan jumlah kerusi yang ditandingi, tetapi jumlah kerusi yang dimenangi,” tegas bekas Ketua Menteri Sabah itu.
Dalam perkembangan sama, Salleh merakamkan ucapan tahniah kepada BN Johor atas kemenangan besar yang dicapai.
“Keputusan ini membuktikan bahawa apabila parti bersatu, mengetengahkan calon yang diyakini rakyat dan melaksanakan strategi yang berkesan, BN masih mampu mencatat kemenangan besar.
“Persoalannya, bolehkah gelombang biru Johor berulang di Negeri Sembilan? Jawapannya, boleh, tetapi landskap politik Negeri Sembilan berbeza dan memerlukan pendekatan yang tersendiri.
“Kemenangan besar di Johor sudah tentu mengukuhkan kedudukan BN dalam rundingan gabungan. Jika momentum itu dapat diterjemahkan di Negeri Sembilan, adalah wajar BN menjadi teras gabungan, dengan setiap parti bertanding di kawasan yang memberikan peluang terbaik untuk menang,” kata Salleh.



