Pas sedia terima calon MB Umno di Negeri Sembilan – Hadi Awang

KUALA LUMPPUR- Selepas mengambil pendekatan menyokong calon Barisan Nasional (BN) di kerusi tidak ditandingi calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor, Pas kini bersedia menerima calon Menteri Besar Negeri Sembilan daripada Umno sekiranya kerjasama antara kedua-dua parti dapat dimuktamadkan.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan berkaitan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan ditandingi antara kedua-dua pihak sedang berlangsung dan disifatkan sangat positif.

“Ya, kita sedang usahakan kerjasama (dengan Umno/BN). Hasil perbincangan sangat positif. Kita terima hakikat bahawa Negeri Sembilan didominasi Umno.

“Dia (Umno) pimpin (menjadi Menteri Besar),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Perdana Pas Negeri Sembilan di Paroi, di sini, tengah malam tadi, menurut BH.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd Fairuz Mohd Isa.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, antara perkara yang sedang dibincangkan ialah Umno mengekalkan 14 kerusi yang disandangnya, manakala Pas pula mengekalkan tiga kerusi sedia ada.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, dua kerusi yang sebelum ini dimiliki Bersatu akan dibincangkan sama ada untuk ditandingi Pas atau Umno berdasarkan kesesuaian.

“Manakala 17 kerusi yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH) akan diagihkan antara parti-parti yang bekerjasama termasuk Umno, Pas, MCA, MIC dan Gerakan mengikut kewajaran.

“Setakat ini rundingan berjalan dengan baik dan tiada masalah. Yang penting, orang Melayu dan Islam mesti memimpin Negeri Sembilan, seperti juga di Johor,” katanya.

Hadi turut memaklumkan Pas masih belum membuat keputusan sama ada akan menggunakan logo PN atau logo parti itu sendiri pada PRN Negeri Sembilan.

“Kita sedang bincang dan teliti. Keputusan muktamad akan diumumkan sebelum hari penamaan calon iaitu pada malam Khamis ini,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata Pas akan menggunakan pendekatan berbeza pada PRN Negeri Sembilan berbanding PRN Johor dalam usaha menarik sokongan pengundi dan memenangi sebanyak mungkin kerusi.

“Kita mahu memastikan kuasa Melayu dan Islam menguasai pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Pada PRN ke-15 pada 2023, PH membentuk kerajaan negeri bersama BN selepas memperoleh kemenangan di 31 daripada 36 kerusi DUN. PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi.

Bagaimanapun, pada PRN kali ini, PH dan BN masing-masing bergerak secara berasingan apabila kedua-duanya bertanding di semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat