Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Dua pelajar Malaysia, Ahmad Lutfi Che Hassan dan Loh Jia Cheng telah terpilih untuk menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN atau CERN Summer Student Programme (CSSP), dan berpeluang bersama-sama 150 peserta dari seluruh dunia yang berlangsung dari Jun hingga Ogos 2026 di Geneva, Switzerland.
Pengalaman menyertai persekitaran penyelidikan antarabangsa memberi nilai pembelajaran yang sukar diperoleh melalui kuliah semata-mata khususnya dalam bidang sains dan teknologi yang semakin kompleks serta merentas disiplin.
Melalui CSSP, pelajar berpeluang melihat sendiri bagaimana penyelidikan saintifik dijalankan dalam ekosistem bertaraf dunia termasuk melalui tugasan penyelidikan harian, siri kuliah, dan perbincangan teknikal.
Selain itu, pendedahan kepada kemudahan eksperimen dan teknologi penyelidikan berkeupayaan tinggi di Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN).
Sejak tahun 2012, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) merupakan badan pencalonan rasmi bagi pelajar Malaysia ke CSSP dan sehingga kini, Malaysia telah menghantar 29 pelajar ke CSSP.
Jia Cheng,26, yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Sains Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) menyifatkan pemilihannya sebagai satu penghormatan serta peluang pembelajaran yang amat bermakna.
Beliau berkata, menyertai CSSP merupakan satu penghormatan yang besar serta peluang terbaik untuk saya mengaplikasikan kemahiran simulasi molekul dalam persekitaran bertaraf dunia.
“Saya berharap pengalaman bekerja bersama saintis antarabangsa dapat memperluas perspektif penyelidikan saya dan membolehkan saya membawa pulang pengetahuan teknikal yang bermanfaat kepada ekosistem penyelidikan tempatan,” katanya.
Ahmad Lutfi,26, yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Sains Statistik Industri di Sunway University, menyifatkan pemilihannya untuk menyertai CSSP tahun ini sebagai satu peluang yang amat bermakna bukan sahaja dari segi pembangunan profesional tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada keluarganya.
“Terpilih untuk menyertai CSSP tahun ini amat bermakna kerana ia memberi peluang kepada saya untuk membanggakan keluarga serta menjadi contoh kepada adik-adik saya.
“Sebagai seorang penganalisis data saya berharap pengalaman ini dapat menunjukkan bagaimana pemikiran statistik dan kaedah kuantitatif boleh menyumbang kepada penyelesaian masalah saintifik yang kompleks merentasi pelbagai bidang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, penyertaan pelajar Malaysia dalam CSSP mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluas pendedahan bakat muda negara kepada pengalaman pembelajaran dan penyelidikan bertaraf antarabangsa.
Menurut beliau, program seperti CSSP menyokong aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN 2021-2030) khususnya dalam memperkukuh pembangunan bakat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang adaptif dan berdaya saing.
Menurutnya lagi, pendedahan kepada persekitaran penyelidikan bertaraf dunia seperti CERN dapat memperluas pengetahuan pelajar serta membentuk bakat STI yang mampu menterjemah idea kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Dalam pada itu, Presiden ASM, Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen, FASc berkata, CSSP memberi nilai tambah penting dalam membentuk pemikiran saintifik, keyakinan serta keupayaan penyelidikan dalam kalangan bakat muda negara.
Dr. Tengku Mohd Azzman yang juga Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada YAB Perdana Menteri dan Negara, Academician berkata, pengalaman di CSSP membolehkan pelajar memahami bagaimana penyelidikan berskala besar dilaksanakan melalui gabungan kepakaran, teknologi maju dan kerjasama global.
“Pendedahan seperti ini penting dalam membentuk generasi penyelidik dan profesional STI yang bukan sahaja menguasai pengetahuan teknikal tetapi turut memiliki pemikiran kritikal dan berasaskan bukti,” katanya.
Menurut laman web CSSP, pelajar berpeluang mendapat pendedahan langsung kepada persekitaran penyelidikan bertaraf dunia di CERN khususnya dalam bidang fizik zarah, kejuruteraan dan pengkomputeran.
Sepanjang program, peserta akan mengikuti kuliah oleh pakar CERN dan saintis jemputan, menyertai bengkel, meneroka kemudahan penyelidikan CERN serta terlibat dalam projek saintifik atau teknikal selama lapan hingga 13 minggu.
Program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk membina jaringan antarabangsa dengan pelajar dan penyelidik muda dari seluruh dunia selain memperkukuh pengetahuan, pengalaman serta kemahiran bernilai untuk pembangunan kerjaya masa hadapan. – SUARA.TV



