KUALA LUMPUR – Satu usaha yang diterajui oleh Postal Forum untuk tujuan anti-penipuan yang dikenali ‘Parcel Shield’ telah dilancarkan hari ini untuk menangani ancaman penipuan berkaitan bungkusan serta meningkatkan perlindungan dan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan pos dan kurier.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata ia diperkenalkan selepas ada peningkatan risiko penipuan yang mengeksploitasi kepercayaan pengguna terhadap perkhidmatan penghantaran di negara ini.
Menurut beliau, ia termasuk penyamaran syarikat kurier, notifikasi penghantaran palsu, pautan pancingan data (phishing) dan penipuan pembayaran semasa penghantaran (COD).
“Parcel Shield yang diluncurkan hari ini akan dapat memberi perlindungan tambahan kepada pengguna daripada modus operandi atau cara scammer beroperasi dalam platform-platform e-dagang.
“Kita juga menggalakkan untuk mana-mana pihak yang merasakan ada perkara yang perlu dilaporkan untuk segera melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui aduan di MCMC,” katanya.
Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Selangor International Trade Center (SITC) di Shah Alam, hari ini.
Dalam satu kenyataan Postal Forum lantikan MCMC memaklumkan salah satu teras utama Parcel Shield ialah Kumpulan Kerja Parcel Shield (PSWG) yang berperanan sebagai platform khusus bagi perkongsian maklumat, penyaluran amaran awal serta penyelarasan langkah pencegahan dalam menangani ancaman penipuan.
“Kumpulan kerja ini kini dianggotai oleh 14 organisasi yang berdaftar termasuk ABX Express, City-Link Express, DHL eCommerce, GD Express, J&T Express.
“Melalui perkongsian maklumat dan amalan terbaik, PSWG berperanan memperkukuh kesiapsiagaan industri dalam mengenal pasti dan menangani risiko penipuan dalam ekosistem penghantaran, sekali gus memelihara keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan pos dan kurier,” katanya.
Menurut Fahmi, sejak 1 Januari lalu sehingga 30 Oktober, terdapat 13,045 kandungan termasuk scam, judi, perkhidmatan yang tidak dibenarkan dikesan oleh platform ataupun dikesan di platform e-dagang.
Menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, satu keputusan dibuat untuk membenarkan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012, katanya.
“Saya akan meminta supaya MCMC dan Kementerian Komunikasi menjemput semua syarikat penghantaran yang dilesenkan di bawah MCMC untuk turut terlibat dalam proses penggubalan pindaan akta ini.
“Kita baru mendapat kelulusan untuk pindaan dan akan makan masa beberapa bulan untuk sediakan draf, tetapi perlu melalui Jabatan Peguam Negara dan kemudian dihantar balik ke Jemaah Menteri sebelum kita bentang di Parlimen.
“Jadi prosesnya kita anggap akan makan masa kerana ada ketertiban yang perlu kita patuhi. Tapi kita jangkakan, seawal mungkin pertengahan ataupun hujung tahun depan,” katanya.


