Parti Bersama jadi pemecah undi buatkan BN menang banyak kerusi, kecewakan PH – Tony Pua

KUALA LUMPUR – Ketua Jawatankuasa Disiplin DAP Tony Pua mendakwa kehadiran Parti Bersama telah memecahkan undi pembangkang di beberapa kerusi Johor.

Kata Tony, penyertaan Parti Bersama dalam pilihan raya secara tidak langsung membantu Barisan Nasional (BN) memenangi lebih banyak kerusi sehingga menjejaskan Pakatan Harapan (PH).

Analisis post-mortem PRN Johor yang dicatatnya di Facebook, Tony mengatakan DUN Perling sebagai contoh paling jelas apabila PH tewas dengan kira-kira 1,800 undi manakala Bersama memperoleh hampir 3,000 undi yakni jumlah yang menurutnya berpotensi mengubah keputusan memihak kepada PH.

Menurut Tony lagi, Bersama turut hampir mengulangi perkara sama di Stulang apabila PH menang tipis dengan majoriti hanya 600 undi manakala PKR turut kehilangan Bukit Batu akibat kesan Bersama pecah undi gabungan itu.

Kata beliau, walaupun memperoleh sejumlah undi dan menyumbang kepada kekalahan PH, wang pertaruhan Bersama hangus di semua kerusi yang ditandinginya.

“Bersama hanya akan menjadi pemecah undi. Kami kalah di Perling dengan kira-kira 1,800 undi. Bersama mendapat hampir 3,000 undi.

“Mereka hampir berjaya menggagalkan kami di Stulang juga, apabila kami menang tipis dengan majoriti 600 undi.

“PKR turut kehilangan Bukit Batu akibat Bersama menjadi pemecah undi.

“Undi untuk Bersama secara hakikatnya merupakan undi yang membolehkan BN memenangi lebih banyak kerusi,” bidas Tony.

Dalam pada Tony turut menyenaraikan beberapa kekangan struktur, termasuk tindakan BN mempercepatkan pilihan raya dan percaturan strategik Pas, sebagai antara faktor yang menyumbang kepada prestasi mengecewakan PH.

Bekas ahli parlimen Damansara itu berkata PH memasuki pilihan raya berkenaan dengan jangkaan akan berdepan keputusan sukar, sambil menyatakan Johor “tidak dapat dipertikaikan sebagai negeri terkuat Umno” satu keputusan yang menurutnya mencerminkan keyakinan BN terhadap kelebihan di kubu sendiri.

“Pas pula mengarahkan ahlinya menyokong BN di kerusi yang secara strategiknya tidak ditandingi parti itu, sekali gus menjadikan cabaran yang sudah sukar bertambah berat.

“Apabila ditanya sebelum ini, saya menjawab bahawa mengekalkan tujuh dari 10 kerusi merupakan keputusan yang baik.

“Kami (PH) mendapat enam manakala dua lagi kalah tipis. Tidak hebat tetapi masih boleh diterima.

“Kami terselamat, walaupun hanya cukup-cukup. Namun, kami perlu melakukan yang lebih baik.

“Selepas ini (PRN) Negeri Sembilan, yang mempunyai landskap politik sangat berbeza. Perjuangan diteruskan,” ujarnya.

DAP bertanding di 17 kerusi dalam Pilihan Raya Johor dan hanya berjaya mempertahankan Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Senai, Skudai dan Stulang.

PKR yang bertanding di kerusi paling banyak, iaitu 20, hanya memenangi Puteri Wangsa.

Amanah pula mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram yang dimenanginya pada 2022.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat