KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluangkan masa menziarah Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Datuk Sulong Jamil Mohamed Shariff yang sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Menerusi kenyataan di laman Facebook beliau, Datuk Seri Ahamd Zahid berkata dalam kehangatan meraikan sambutan Hari Peneroka FELDA ke-70 yang berakhir semalam, ramai yang tidak menyedari ketiadaan seorang tokoh yang sentiasa memperjuangkan kebajikan warga FELDA di seluruh negara.
“Mengenali beliau sebagai seorang sahabat dan pejuang yang tidak pernah mengenal penat demi warga peneroka,” katanya.
Menurut beliau, sejurus pulang dari Jengka, Pahang beliau terus menziarahi Datuk Sulong Jamil.
“Walaupun tidak dapat bersama-sama meraikan Hari Peneroka, ingatan dan perbualan beliau tetap berkisar tentang hal ehwal FELDA serta nasib peneroka,” katanya.
Sambutan Hari Peneroka FELDA ke-70 telah disambut pada 6 dan 7 Julai di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.
Acara kemuncak peringkat kebangsaan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Beliau turut mengumumkan 7 insentif baharu untuk pemerkasaan perumahan generasi baharu FELDA untuk pendidikan dan penjagaan kesihatan.



