TH gesa bakal jemaah haji 2027 dan 2028 tingkat persediaan awal

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan bakal jemaah haji bagi musim 1448H/2027M dan 1449H/2028M supaya membuat persediaan lebih awal, khususnya dari aspek kesihatan, kewangan, penguasaan ilmu ibadah serta pengemaskinian maklumat diri bagi memastikan urusan menunaikan rukun Islam kelima berjalan lancar.

Dalam kenyataan pada Isnin, TH berkata persediaan awal dan tersusun penting bagi membantu bakal jemaah memenuhi syarat kemampuan (istito’ah) serta melayakkan mereka menerima surat tawaran haji apabila tiba masanya.

Menurut TH, bakal jemaah digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan lebih awal serta meningkatkan kecergasan fizikal dan mental kerana ibadah haji memerlukan ketahanan yang tinggi dalam keadaan cuaca panas, berdebu dan persekitaran yang sesak.

“Jemaah dijangka perlu berjalan sekitar 10,000 langkah sehari dan kira-kira tujuh kilometer sehari ketika melaksanakan ibadah melontar jamrah di Mina,” menurut kenyataan itu.

Dalam aspek kewangan, TH menggalakkan pendeposit meningkatkan simpanan secara berkala dan konsisten.

Katanya, simpanan minimum RM15,000 diperlukan sebagai penanda aras kelayakan menerima surat tawaran haji, syarat yang diperkenalkan bermula musim haji 1447H/2026M dan disifatkan memberi kesan positif terhadap tahap kesiapsiagaan bakal jemaah.

Walaupun kos haji bagi musim 1448H/2027M masih belum ditetapkan, TH memaklumkan kos musim 1447H/2026M iaitu RM33,300 seorang boleh dijadikan rujukan awal untuk merancang simpanan.

TH turut menyediakan kemudahan simpanan berkala melalui potongan gaji dan potongan terus daripada akaun bank (direct debit) menerusi platform THiJARI.

Selain itu, Kursus Asas Haji akan bermula pada 25 September 2026 bagi membantu bakal jemaah serta orang awam mendalami ilmu berkaitan ibadah haji.

Bakal jemaah juga diingatkan supaya memastikan Pasport Malaysia Antarabangsa mereka berada dalam status aktif dan mempunyai tempoh sah laku yang mencukupi.

TH turut menasihatkan bakal jemaah menyemak serta mengemas kini rekod peribadi melalui aplikasi THiJARI atau di cawangan TH berhampiran bagi memudahkan urusan komunikasi berkaitan tawaran haji.

Menurut kenyataan itu, peringatan awal akan disampaikan melalui aplikasi THiJARI, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel rasmi TH sebagai notifikasi persediaan kepada bakal jemaah dalam tahun giliran 1448H/2027M dan 1449H/2028M.

TH menjelaskan bahawa surat tawaran rasmi untuk menunaikan haji akan dikeluarkan secara berasingan kepada bakal jemaah yang layak mengikut syarat dan prosedur yang ditetapkan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat