KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjelaskan penggunaan sebuah kenderaan BMW oleh Perdana Menteri hanyalah bersifat sementara dan bukannya kenderaan rasmi baharu yang diperoleh khusus untuk beliau.
Dalam kenyataan pada Isnin, JPM bersama Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) berkata penjelasan itu dibuat susulan dakwaan berhubung penggunaan kenderaan berkenaan oleh Perdana Menteri.
Menurut kenyataan itu, BMW tersebut merupakan aset sedia ada milik BIUPA yang disediakan bagi memenuhi keperluan rasmi negara, khususnya untuk kegunaan ketua-ketua negara serta ketua-ketua kerajaan bertaraf Presiden atau Perdana Menteri sempena lawatan rasmi ke Malaysia.
Jelas JPM, kenderaan berkenaan memenuhi keperluan protokol dan keselamatan antarabangsa, termasuk dilengkapi spesifikasi keselamatan yang direka untuk menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan serta risiko keselamatan moden termasuk ancaman dron.
“Kereta itu dipilih untuk digunakan secara sementara oleh YAB Perdana Menteri atas nasihat dan penilaian keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” menurut kenyataan itu.
JPM turut memaklumkan keputusan tersebut dibuat berikutan kenderaan rasmi Perdana Menteri yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan.
Sehubungan itu, JPM menegaskan penggunaan kenderaan milik BIUPA itu hanyalah sebagai langkah sementara bagi memastikan urusan rasmi Perdana Menteri dapat diteruskan dengan mematuhi keperluan keselamatan yang ditetapkan.



