SHAH ALAM, 1 Julai – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana menerima cadangan baginda untuk membina Laluan LRT3 yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur, sambil turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana memastikan projek itu diteruskan sehingga berjaya direalisasikan.
Dalam titah perutusan sempena kejayaan pelaksanaan projek Laluan LRT3 Shah Alam hari ini, baginda bertitah cadangan pembinaan laluan tersebut dikemukakan kepada Najib pada tahun 2015 selepas baginda menerima banyak aduan daripada rakyat, khususnya suri rumah yang mengeluhkan suami mereka sering pulang lewat akibat kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan.
Baginda bertitah Najib menerima cadangan itu tanpa ragu-ragu, manakala pentadbiran beliau turut mengambil langkah segera mengurangkan kesesakan dengan memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada 2018.
Sultan Sharafuddin bagaimanapun bertitah projek LRT3 mengalami kelewatan selepas pertukaran kerajaan pada 2018 apabila ia tergendala lebih 18 bulan, sebelum berdepan tambahan kelewatan selama 19 bulan akibat pandemik COVID-19.
Baginda turut mengkritik keputusan Kementerian Kewangan ketika diterajui Lim Guan Eng bersama penasihatnya, Tony Phua, yang menurut baginda telah mengecilkan skop projek atas alasan ia merupakan projek mega.
“Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta,” titah baginda.
Menurut baginda, ketika pentadbiran Kementerian Kewangan di bawah Lim Guan Eng dan Tony Phua, saiz setiap stesen telah dikecilkan, jumlah gerabak dikurangkan serta lima lokasi stesen dalam jajaran asal dibatalkan.
Bagaimanapun, baginda bertitah keadaan berubah selepas Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan apabila beliau bersetuju mengembalikan semula lima stesen yang dibatalkan selain merancang pembinaan rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Anwar kerana mengarahkan supaya tiada lagi sebarang halangan terhadap pelaksanaan projek tersebut.
“Terima kasih dan syabas Beta ucapkan kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” titah baginda.
Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin berharap pembukaan LRT3 dapat mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya serta menyediakan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada penduduk Klang dan Shah Alam yang berulang-alik ke Kuala Lumpur.
Baginda turut mengingatkan Prasarana supaya memastikan penyelenggaraan laluan itu dilaksanakan dengan baik agar perkhidmatannya kekal lancar dan selamat.
Pada akhir titah, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 tidak seharusnya didakwa sebagai hasil usaha mana-mana pihak secara bersendirian.
Sebaliknya, baginda menegaskan projek tersebut merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama beberapa pentadbiran yang merentasi pelbagai tempoh demi kepentingan rakyat Selangor.
Baginda berharap LRT3 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara.



