Onn Hafiz jangan berbohong, kata Puad

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi meminta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya tidak berbohong mengenai punca beliau meninggalkan UMNO.

Menurut Puad, dakwaan Onn Hafiz bahawa beliau hanya mengetahui sebab Puad keluar UMNO selepas Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan mesej WhatsApp adalah tidak benar.

“Semasa berkempen di Rengit semalam, Onn Hafiz mendakwa mereka hanya tahu punca saya keluar UMNO setelah Dr. Asyraf Wajdi bocorkan mesej WhatsApp saya. Puncanya saya mahu anak saya jadi calon.

“Sebenarnya saya keluar UMNO kerana sistem UMNO yang rosak. Isu anak saya cuma pencetus,” katanya dalam satu kenyataan.

Puad menegaskan beliau pernah dua kali tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum 2004 dan 2018, namun kekal bersama UMNO ketika itu.

“Tidak ada sebab saya keluar UMNO kerana tidak dapat jadi calon. Dua kali saya tidak dicalonkan pada tahun 2004 dan 2018.

“Tetapi kali ini saya tinggalkan UMNO kerana sistem UMNO rosak teruk. Alasan saya pada 25 Jun 2026 tidak berubah,” katanya.

Beliau turut mendakwa Onn Hafiz sudah mengetahui hasratnya lebih awal sebelum beliau mengumumkan keluar daripada UMNO.

Menurut Puad, beliau telah bertemu Onn Hafiz di Saujana pada 21 Jun lalu dan pertemuan itu turut dihadiri anaknya, Omar Hafidz.

“Saya umum keluar UMNO pada 25 Jun 2026. Asyraf bocorkan mesej saya selepas itu.

“Saya jumpa MB di Saujana pada 21 Jun 2026. Anak saya Omar Hafidz turut hadir di Saujana. Maksudnya MB tahu lebih awal cadangan saya. Kenapa MB cakap bohong sampai heret nama Asyraf?” katanya.

Dalam kenyataan sama, Puad turut memuji program Semarak Subuh yang diperkenalkan oleh Onn Hafiz sebagai satu idea yang baik.

Beliau berkata, sebanyak 62 program Semarak Subuh telah diadakan di DUN Rengit tahun ini dan beliau menghadiri kesemuanya kerana menetap di kawasan tersebut.

Puad turut menyatakan sokongan terhadap cadangan Onn Hafiz untuk memperkenalkan program “Semarak Isya” sekiranya Barisan Nasional kembali diberi mandat mentadbir Johor.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa program berteraskan agama perlu disertai dengan akhlak yang baik dan kejujuran.

“Bila buat program baik begitu, maka kita juga kena buktikan dengan sahsiah Islam yang sebenarnya. Antaranya jangan cakap bohong.

“Kita boleh berbohong pada manusia tetapi tidak kepada Allah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat