Pelancaran perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT3) laluan Shah Alam hari ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui pembangunan berorientasikan transit (TOD), demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi sebegitu akan meransang pelaburan baharu, memperluas peluang perniagaan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing kawasan yang dihubungkan oleh laluan ini.
“Jaringan pengangkutan yang lebih baik juga membuka akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan dan pelbagai perkhidmatan penting, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan saksama,” kata beliau di laman Facebooknya hari ini.
Selain itu, Datuk Seri Anwar menyifatkan pelancaran LRT3 hari ini juga menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara yang lebih moden, cekap dan bersepadu demi kesejahteraan rakyat.
“Projek ini bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan, malah membawa limpahan manfaat yang besar kepada jutaan penduduk di sepanjang jajaran.
“Dengan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan boleh dipercayai, rakyat dapat menjimatkan masa serta kos perjalanan harian, di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan MADANI bawah pimpinan beliau akan terus melaksanakan pembangunan yang berteraskan keperluan rakyat.
“Justeru sewaktu merasmikan LRT3 Laluan Shah Alam hari ini, saya tekankan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melaksanakan pembangunan yang berteraskan keperluan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta memastikan kemajuan yang dikecapi memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, hari ini dan untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Majlis perasmian hari ini oleh Datuk Seri Anwar diadakan di Depoh Utama LRT3 Laluan Shah Alam di Johan Setia, Klang, Selangor.
Laluan LRT3 ialah sejauh 37.8 kilometer menghubungkan koridor barat Lembah Klang. Ia menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dengan Johan Setia di Klang.
Ia meliputi 20 buah stesen keseluruhan termasuk jajaran bawah tanah sejauh 2.5 kilometer.
Perkhidmatan ini mampu menampung penumpang sehingga 18,630 orang bagi setiap jam untuk satu hala perjalanan.
Ia menggunakan set tren 3 gerabak dengan kelajuan maksimum 80 kilometer sejam.



