BATU PAHAT — Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil yakin calon KEADILAN bagi kerusi DUN Semerah (N17), Khuzzan Abu Bakar, mempunyai kelebihan tersendiri untuk meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, pengalaman Khuzzan sebagai bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) menjadi aset penting dalam meyakinkan rakyat bahawa beliau mampu membawa pembangunan dan kemajuan kepada DUN Semerah.
“Saya nampak Saudara Khuzzan merupakan bekas EXCO dan beliau mempunyai banyak pengalaman. Sudah pasti pengalaman itu boleh ditunjukkan kepada para pengundi untuk membawa Semerah ke hadapan, insya-Allah,” katanya kepada Suara TV di Pusat Penamaan Calon DUN Semerah, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi turut menyifatkan proses penamaan calon di DUN Semerah berlangsung dalam keadaan aman, terkawal dan lancar.
“Saya nampak suasananya baik, keadaan terkawal. Saya tengok semangat dalam kalangan penyokong-penyokong dan calon-calon tinggi. Semua berjalan dengan lancar, malah prosesnya agak pantas.
“Saya percaya, insya-Allah bagi DUN Semerah, PRN kali ini akan berjalan dengan baik dan lancar. Tidak ada apa-apa isu,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa suasana tenang yang sinonim dengan DUN Semerah akan membantu memastikan keseluruhan proses pilihan raya berlangsung secara harmoni sehingga hari pengundian.
Sementara itu, calon KEADILAN bagi DUN Semerah, Khuzzan Abu Bakar berkata manifesto yang akan dibawa pada PRN kali ini memberi tumpuan kepada usaha meneruskan pembangunan infrastruktur, memperkukuh kemudahan asas serta memperkasakan golongan muda.
“Insya-Allah, seperti biasa kita akan memastikan pembangunan infrastruktur, kemudahan asas dan juga pembangunan anak muda akan terus diberi perhatian. Kita akan kekalkan seperti mana yang telah kita laksanakan sebelum ini.
“Termasuk juga dari segi ekonomi dan pelancongan warisan. Banyak lagi perkara yang akan kita bentangkan selepas ini. Insya-Allah kita akan memaklumkan kepada semua teras-teras yang telah kita selaraskan untuk kita bawa Semerah ke hadapan,” katanya.
Khuzzan berkata, perincian manifesto itu akan diumumkan dalam masa terdekat sebagai tawaran kepada rakyat Semerah bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan kawasan tersebut.



