PAGOH –Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menerima pendirian PAS yang tidak akan membantu kempen calon Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun menegaskan partinya tetap bersikap terbuka untuk membantu PAS sekiranya diperlukan.
Mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa jentera PAS hanya akan berkempen untuk calon parti itu sendiri, Muhyiddin berkata beliau tidak pernah meminta mana-mana pihak supaya membantu kempen Bersatu.
“Tak apalah. Saya pun tak meminta sesiapa membantu. Siapa yang hendak membantu, bantulah,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N07 Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui semangat dalam Perikatan Nasional (PN) sepatutnya berasaskan kerjasama antara parti-parti komponennya.
“Walaupun dari sudut prinsip Perikatan Nasional, sepatutnya ada semangat saling membantu. Tetapi kalau mereka tidak mahu membantu, kita terimalah,” katanya.
Muhyiddin berkata, Bersatu akan meneruskan kempen berdasarkan kekuatan jentera parti serta rekod perjuangan yang telah dibina selama ini.
“Setakat ini pun kita bekerja keras atas kekuatan yang kita ada dan dasar serta amalan yang telah kita lakukan selama ini.
“Saya yakin pengundi akan tahu bagaimana mereka hendak membuat keputusan,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan Bersatu tidak akan menutup pintu kerjasama dengan PAS.
“Kalau mereka mahukan sokongan kita, kita akan bantu. Amalan kita, sikap kita terbuka,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Rusila, Marang mengesahkan PAS tidak akan berkempen untuk calon Bersatu walaupun kedua-dua parti masih menggunakan logo Perikatan Nasional pada PRN Johor.
Ketika ditanya sama ada PAS akan membantu kempen Bersatu, Presiden PAS itu menjawab ringkas, “Tidak, tidak… PAS akan berkempen untuk PAS sahaja.”
Kenyataan balas Muhyiddin itu dilihat memperlihatkan perbezaan pendekatan antara kedua-dua parti, apabila Bersatu menyatakan kesediaan membantu PAS sekiranya diminta, meskipun tidak menerima layanan yang sama daripada rakan gabungannya itu.



