Anwar paling popular, Kadir Jasin ingatkan ramalan Merdeka Centre 2018 meleset

KUALA LUMPUR – Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin mengingatkan bahawa keputusan tinjauan pendapat yang meletakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin paling popular tidak semestinya menjadi petunjuk tepat terhadap keputusan pilihan raya.

Mengulas dapatan terbaharu Merdeka Centre, beliau berkata Anwar memperoleh kadar kelulusan (approval rating) sebanyak 52 peratus, hanya dua mata peratusan mengatasi bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mencatat 50 peratus.

Menurut beliau, keputusan itu sudah tentu menggembirakan penyokong Anwar yang melihat ia sebagai petanda Perdana Menteri berpeluang mengekalkan kuasa untuk penggal kedua.

Bagaimanapun, A. Kadir mengingatkan bahawa Merdeka Centre pernah tersasar dalam membuat unjuran politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Katanya, pada Januari 2018, Merdeka Centre meramalkan Tun Dr. Mahathir Mohamad gagal menumbangkan Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) dijangka memperoleh kemenangan dua pertiga di Parlimen.

“Apabila PRU diadakan pada 9 Mei 2018, bukan sahaja Dr. Mahathir dan Pakatan Harapan (PH) menang, malah Najib serta BN mengalami kekalahan besar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, pengalaman itu menyebabkan mereka yang mengikuti sejarah tinjauan dan ramalan politik Merdeka Centre tidak akan terlalu terkejut dengan dapatan kajian semasa yang melibatkan 1,209 responden antara 12 Mac hingga 9 April lalu.

Selain Anwar dan Khairy, tinjauan tersebut meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin di tempat ketiga dengan kadar kelulusan 36 peratus, diikuti Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (28 peratus), Tan Sri Abdul Hadi Awang (25 peratus) dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (24 peratus).

A. Kadir turut berpandangan bahawa kedudukan Anwar di tangga teratas tidak begitu selesa memandangkan beliau hanya mendahului Khairy dengan kelebihan dua mata peratusan walaupun telah menjadi Perdana Menteri sejak November 2022.

Pada masa sama, beliau menyifatkan kedudukan Ahmad Zahid yang berada di tangga paling bawah sebagai petunjuk bahawa sokongan dan pengiktirafan yang diberikan Anwar kepada Timbalan Perdana Menteri itu tidak berjaya meningkatkan penerimaan rakyat terhadap Presiden UMNO berkenaan.

Sebaliknya, katanya, Khairy yang pernah dipecat daripada UMNO dan kini kembali menyertai parti itu jauh lebih popular daripada presidennya sendiri, malah hampir menyamai populariti Anwar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat