BATU PAHAT — Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan suasana penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 berlangsung dalam keadaan harmoni dan mencerminkan kematangan politik rakyat negeri itu.
Bercakap kepada Suara TV, beliau berkata penyokong setiap calon hadir dengan penuh tertib tanpa sebarang insiden yang boleh mencetuskan provokasi atau ketegangan.
“Suasananya amat harmoni. Kita boleh lihat semua penyokong amat tertib mengiringi calon masing-masing tanpa ada sebarang insiden yang tidak berakhlak ataupun yang boleh mencetuskan provokasi terhadap mana-mana pihak.
“Saya rasa ini merupakan satu pendekatan politik yang matang dan harus kita semarakkan dalam konteks Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di MRSM Batu Pahat, Johor yang menjadi Pusat Penamaan Calon bagi DUN N17 Semerah sempena PRN Johor Ke-16, hari ini.
Asyraf berkata, meskipun penyokong calon ditempatkan bersebelahan antara satu sama lain oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), keadaan kekal terkawal dengan semua pihak mematuhi peraturan.
“Kalau kita lihat, walaupun SPR meletakkan penyokong setiap calon bersebelahan antara satu sama lain, tidak ada sebarang masalah. Masing-masing dapat berada bersama dengan penuh tertib,” katanya.
Beliau berharap semangat keharmonian itu dapat dikekalkan sepanjang tempoh dua minggu berkempen.
“Harapan saya sepanjang tempoh dua minggu berkempen ini, keharmonian seperti inilah yang harus kita kekalkan, terutamanya dalam senario politik Johor yang berbeza dengan negeri-negeri lain.
“Politik di Johor sentiasa penuh tertib, penuh adab, dengan tradisi Melayu yang begitu kental dan harus kita sama-sama martabatkan,” katanya.



