KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said merakam ucapan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kepimpinan Umno Johor kerana mengurus proses pemilihan calon dengan tenang, tertib dan berani.
Kata Ahli Parlimen Pengerang itu, keputusan calon bukan sekadar soal siapa yang mahu bertanding, tetapi siapa yang paling sesuai memikul amanah pada waktu dan medan yang diperlukan.
Tegas Menteri Undang-undang itu, dalam politik, keberanian membuat keputusan sering lebih sukar daripada keberanian berucap di pentas.
“Selepas penamaan calon, suara tidak puas hati bukan perkara luar biasa dalam politik. Setiap parti besar pasti melalui saat seperti ini. Ada yang kecewa, ada yang terkilan, ada yang merasakan dirinya lebih layak. Itu lumrah politik.
“Namun, ukuran sebenar seorang pejuang bukan ketika namanya disebut, tetapi ketika namanya tidak dipilih.
“Di situlah kesetiaan diuji. Kesetiaan kepada parti bukan bermaksud taat membuta tuli, tetapi memahami bahawa perjuangan lebih besar daripada individu. Jawatan datang dan pergi. Peluang boleh berubah. Tetapi parti, prinsip dan amanah rakyat mesti kekal menjadi keutamaan.
“Apa yang berlaku juga membuktikan bahawa Umno tidak pernah ketandusan pemimpin. Dalam Umno sentiasa ada pelapis, pemimpin akar umbi, tokoh muda dan tenaga baharu yang menunggu masa untuk diberi amanah.
“Inilah kekuatan sebuah parti institusi. Umno tidak bergantung kepada seorang dua individu, tetapi berdiri atas kesinambungan perjuangan, pengalaman dan proses melahirkan kepimpinan,” tegas Azalina.
Tambah beliau lagi, perbezaan pandangan boleh diraikan. Teguran boleh diberikan. Kekecewaan boleh difahami.
“Namun, apabila keputusan telah dibuat melalui saluran parti, disiplin menuntut semua pihak kembali bergerak sebagai satu pasukan. Rakyat memerhati bukan sahaja apa yang kita janjikan, tetapi bagaimana kita bertindak ketika diuji.
“Akhirnya, kesetiaan bukan kepada individu semata-mata. Kesetiaan adalah kepada perjuangan, kepada parti, kepada prinsip, dan paling utama, kepada rakyat yang telah memberikan amanah.
“Tahniah Onn Hafiz. Tahniah Umno Johor. Tahniah Barisan Nasional Johor,” ucap Azalina.


