KLDEX mengangkat kisah Durian Malaysia, tarik dunia kenali warisan tempatan

KUALA LUMPUR: Selama berpuluh-puluh tahun, durian menjadi antara buah yang paling sinonim dengan Malaysia. Keunikan rasa, aroma dan kepelbagaian varietinya bukan sahaja menarik perhatian rakyat tempatan, malah berjaya meletakkan Malaysia sebagai antara pengeluar durian premium yang dikenali di seluruh dunia. Nama seperti Musang King, D24, Duri Hitam, Udang Merah dan IOI bukan lagi asing dalam kalangan pencinta durian, khususnya di China yang kini muncul sebagai pasaran terbesar bagi buah tersebut. Namun di sebalik populariti yang terus berkembang, masih ramai yang hanya mengenali durian sebagai makanan, sedangkan sejarah, budaya, identiti dan perjalanan industri itu sendiri kurang diketengahkan kepada masyarakat.

Kesedaran terhadap perkara itu mendorong penubuhan Kuala Lumpur Durian Experience Centre (KLDEX), sebuah pusat pengalaman budaya durian pertama dan terbesar di Asia yang akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 4 Julai ini. Dibangunkan di atas kawasan seluas 20,451 kaki persegi dengan pelaburan sekitar RM8 juta, KLDEX diwujudkan bukan semata-mata sebagai lokasi menjual durian, sebaliknya menjadi platform yang menghimpunkan sejarah, pendidikan, pengalaman interaktif, hiburan serta gastronomi bagi membolehkan orang ramai memahami perjalanan sebenar industri durian Malaysia.

Pengasas Bersama KLDEX, Ang Kean Wee berkata, selama ini kebanyakan pelancong yang datang ke Malaysia hanya mengenali durian melalui rasa dan populariti varieti tertentu, namun tidak mengetahui bagaimana buah itu berkembang menjadi antara simbol negara yang dikenali di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, setiap varieti durian mempunyai kisah tersendiri yang jarang didokumentasikan secara menyeluruh. Musang King misalnya bukan sekadar dikenali sebagai durian premium, malah mempunyai sejarah panjang mengenai asal usul namanya dan bagaimana ia berkembang sehingga menjadi varieti paling mendapat permintaan di dunia. Begitu juga D24 yang suatu ketika dahulu menjadi pilihan utama pengguna sebelum kemunculan Musang King, selain Duri Hitam yang kini semakin mendapat tempat dalam pasaran antarabangsa.

Menurut beliau, semua kisah tersebut wajar dipelihara kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan negara yang mungkin hilang sekiranya tidak didokumentasikan sejak sekarang.

“Ramai orang datang ke Malaysia untuk makan durian, tetapi mereka tidak mengetahui kisah di sebalik buah itu. Mereka tidak tahu bagaimana varieti ini dihasilkan, siapa yang memperkenalkannya dan bagaimana industri ini berkembang sehingga menjadi antara sektor pertanian paling penting di negara kita.

“Sebab itu kami mahu KLDEX menjadi sebuah tempat yang bukan sahaja menawarkan pengalaman menikmati durian, tetapi juga memberi peluang kepada pengunjung memahami budaya, sejarah dan identiti durian Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu berbeza daripada konsep pusat jualan durian biasa kerana pengunjung akan melalui perjalanan yang lebih menyeluruh bermula daripada sejarah awal durian, perkembangan varieti tempatan, suasana dusun, proses penanaman sehingga kepada pengalaman menikmati buah tersebut.

Malah, galeri muzium yang dibangunkan di KLDEX turut memaparkan pelbagai bahan arkib termasuk catatan awal mengenai durian dalam sumber sejarah Eropah dan China selain memperkenalkan individu yang memainkan peranan penting dalam pembangunan industri durian negara.

Bagi memberikan pengalaman yang lebih realistik, KLDEX turut membangunkan zon dusun interaktif yang membolehkan pengunjung merasai sendiri suasana berada di kebun durian. Melalui ruang itu, pengunjung dapat melihat bagaimana pokok durian ditanam, memahami keadaan persekitaran yang sesuai untuk pertumbuhan pokok serta mengenali ekosistem dusun yang menjadi sebahagian daripada kehidupan pekebun tempatan sejak sekian lama.

Selain galeri sejarah dan zon pengalaman dusun, KLDEX turut menampilkan sebuah teater yang mempersembahkan kisah perkembangan durian Malaysia melalui gabungan drama, muzik dan persembahan pentas. Pendekatan itu bertujuan memperkenalkan budaya durian negara kepada pengunjung dengan cara yang lebih menarik dan mudah difahami, khususnya oleh pelancong antarabangsa.

Menurut Kean Wee, sambutan sepanjang tempoh operasi percubaan yang bermula pada 1 Jun lalu amat memberangsangkan apabila hampir 2,500 pengunjung direkodkan pada hujung minggu tertentu.

Katanya, walaupun majoriti pengunjung ketika ini terdiri daripada rakyat tempatan, pihaknya menjangkakan jumlah pelancong antarabangsa akan meningkat apabila musim cuti di China bermula selain pembukaan rasmi KLDEX pada awal Julai nanti.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan sekitar 5,000 pengunjung sehari apabila operasi berjalan sepenuhnya dan percaya KLDEX mampu menjadi salah satu produk pelancongan baharu negara yang memberi pengalaman berbeza kepada pelawat.

Di samping muzium dan teater, KLDEX turut menawarkan pelbagai makanan dan minuman berasaskan durian termasuk pastri, kopi, pencuci mulut serta produk tempatan yang dihasilkan khusus bagi mencerminkan identiti makanan Malaysia.

Bagi memastikan pengunjung mengenali kepelbagaian durian tempatan, pusat itu menawarkan antara lapan hingga 10 varieti termasuk Musang King, Duri Hitam, D24, IOI serta beberapa jenis durian kampung yang diperoleh daripada pekebun di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurut Kean Wee, pihaknya juga membeli durian daripada pekebun kecil termasuk komuniti Orang Asli sebagai usaha membantu memperluaskan pasaran hasil tanaman mereka.

“Kami mahu memperkenalkan bahawa Malaysia bukan hanya mempunyai Musang King. Negara ini mempunyai lebih 30 varieti durian yang mempunyai rasa dan keistimewaan masing-masing. Ramai pengguna tidak pernah mengenali varieti tersebut kerana peluang untuk menikmatinya agak terhad,” katanya.

Sementara itu, Pengasas MyBolehBoleh merangkap Pengasas Bersama KLDEX, Edison Ang Wei Phang berkata, pembinaan KLDEX sebenarnya lahir daripada pengalaman beliau mempromosikan durian Malaysia di China sejak enam tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun bukan berasal daripada keluarga pekebun durian, minat masyarakat China terhadap kandungan yang dihasilkannya di media sosial membuka peluang untuk beliau mendalami industri berkenaan.

“Saya berasal dari Alor Setar dan keluarga saya bukan penanam durian. Tetapi apabila saya mula menghasilkan kandungan mengenai Malaysia, saya mendapati ramai pengikut di China sangat berminat dengan durian Malaysia. Dari situ saya mula memasuki industri ini dan melihat sendiri banyak cabaran yang perlu diselesaikan jika kita mahu membawa durian Malaysia lebih jauh,” katanya.

Menurut Edison, antara cabaran utama ialah masih ramai pengguna luar negara tidak memahami kepelbagaian varieti durian Malaysia kerana maklumat mengenainya tidak disampaikan secara sistematik.

Katanya, kebanyakan pengguna hanya mengenali Musang King sedangkan negara mempunyai puluhan varieti lain yang mempunyai identiti tersendiri.

Beliau percaya KLDEX mampu menjadi platform pendidikan yang membantu pengguna memahami perbezaan setiap varieti selain menghargai sejarah di sebalik pembangunan industri tersebut.

Pada masa sama, beliau melihat China sebagai pasaran yang masih mempunyai potensi luar biasa untuk diterokai oleh industri durian Malaysia.

Menurutnya, ketika ini lebih 50 peratus durian yang diimport China datang dari Vietnam, manakala kira-kira 45 peratus lagi dibekalkan Thailand. Malaysia pula masih menyumbang kurang daripada tiga peratus daripada keseluruhan pasaran import negara itu.

“Ini menunjukkan ruang pertumbuhan masih sangat besar. Permintaan sebenarnya ada, tetapi kita masih berdepan beberapa cabaran yang perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau menjelaskan kemerosotan harga durian tempatan yang berlaku sejak kebelakangan ini bukan berpunca daripada kekurangan permintaan, sebaliknya disebabkan kekangan logistik dan infrastruktur eksport.

Menurutnya, durian Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri kerana buah dipungut selepas gugur secara semula jadi. Kaedah itu menghasilkan rasa yang lebih kaya, tekstur yang lebih sempurna dan aroma yang menjadi identiti durian Malaysia.

Bagaimanapun, kelebihan tersebut turut membawa cabaran kerana jangka hayat buah selepas gugur hanya sekitar dua hingga tiga hari.

Keadaan itu jauh berbeza dengan Thailand dan Vietnam yang menuai buah ketika ia masih sekitar 70 hingga 80 peratus matang sebelum dihantar ke pasaran. Buah akan masak secara semula jadi sepanjang proses penghantaran dan mampu bertahan lebih lama.

“Malaysia memilih untuk menunggu buah gugur kerana itulah identiti durian kita. Kita tidak mahu mengorbankan kualiti semata-mata untuk memanjangkan tempoh simpanan,” katanya.

Selain tempoh simpanan yang singkat, Edison berkata kapasiti penerbangan ke China juga masih menjadi kekangan apabila ruang kargo sering penuh terutama ketika musim durian.

Beliau berkata, pemeriksaan keselamatan makanan oleh pihak berkuasa China yang semakin ketat turut menyebabkan sebahagian penghantaran terpaksa ditahan selama tiga hingga lima hari bagi menjalani pemeriksaan sisa racun dan prosedur keselamatan makanan.

“Bagi durian Malaysia yang hanya mempunyai tempoh hayat beberapa hari selepas gugur, kelewatan seperti ini memberi kesan besar terhadap kualiti buah. Sebab itu ramai pengeksport masih berhati-hati untuk menghantar dalam jumlah yang lebih besar,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Edison percaya Malaysia tidak perlu bersaing dengan Thailand atau Vietnam dari segi jumlah pengeluaran kerana kelebihan sebenar negara terletak pada kualiti.

Menurutnya, Malaysia perlu terus mengekalkan imej sebagai pengeluar durian premium dunia dan membina nilai melalui rasa, sejarah serta identiti yang tidak dimiliki negara lain.

Beliau percaya usaha memperkenalkan budaya durian melalui KLDEX akan membantu meningkatkan lagi keyakinan pelancong dan pengguna antarabangsa terhadap jenama durian Malaysia.

“Bagi kami, durian bukan sekadar buah. Ia adalah budaya, sejarah dan identiti negara. Apabila orang memahami kisah di sebaliknya, mereka bukan sahaja menghargai rasa durian Malaysia, malah menghargai warisan yang menjadikan negara ini terkenal sebagai pengeluar durian premium dunia,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat