Peguam dakwa Suhaily kasari dua anggota polis, nafi mereka ‘ulat’ counter setting

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Suhaily Mohd Zain didakwa mengasari secara fizikal dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika mereka sedang menjalankan tugasan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Dakwaan itu dibuat peguam Kamal Hisham Jaafar yang mewakili Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad yang kedua-duanya anggota PDRM daripada Cawangan Khas.

Menurut firma guaman itu, kejadian berkenaan berlaku di tempat awam sehingga menyebabkan kedua-dua anggota terbabit mengalami kecederaan selain menjejaskan maruah mereka sebagai penjawat awam yang sedang menjalankan tugas rasmi.

Firma berkenaan menegaskan, AKPS bukan sebahagian daripada PDRM dan kedua-dua agensi mempunyai fungsi serta bidang kuasa yang berbeza.

“Sebarang tindakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas perlu dipandang serius tanpa mengira pangkat atau kedudukan mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu, lapor MalaysiaGazette pada Rabu.

Dalam pada itu, firma guaman tersebut turut menafikan dakwaan kedua-dua anak guamnya bertindak sebagai ‘ulat’ atau terlibat dalam sebarang counter setting ketika berada di KLIA.

Menurut mereka, sebarang dakwaan sedemikian perlu disokong bukti dan tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada isu utama yang sedang disiasat iaitu dakwaan berlaku kekerasan terhadap dua anggota PDRM berkenaan.

Firma itu turut mendakwa, terdapat kenyataan melalui media sosial dan saluran rasmi selepas kejadian yang menurut anak guam mereka memberikan gambaran berbeza daripada keadaan sebenar.

Sehubungan itu, mereka berpandangan, sebarang kenyataan awam berkaitan perkara yang masih dalam siasatan perlu dibuat secara bertanggungjawab dan tidak menjejaskan proses siasatan pihak berkuasa.

Daripada sudut undang-undang, firma tersebut berkata, berdasarkan fakta dan keterangan yang sedang dikemukakan kepada pihak berkuasa, kejadian itu berpotensi melibatkan peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Bagaimanapun, firma berkenaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh serta menentukan sebarang kesalahan berdasarkan bukti dan fakta yang diperoleh.

Kamal Hisham turut menggesa siasatan dijalankan dengan segera serta semua pihak mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan atau mempengaruhi proses siasatan.

Firma itu juga mahu hak, keselamatan dan maruah kedua-dua anggota PDRM berkenaan sebagai penjawat awam yang didakwa sedang menjalankan tugas rasmi terus dilindungi.

“Kedua-dua anak guam kami menegaskan bahawa mereka sedang menjalankan tugas rasmi pada ketika kejadian dan berhak mendapat perlindungan serta keadilan di sisi undang-undang.

“Tiada sesiapa pun tanpa mengira pangkat atau kedudukan harus diletakkan di atas undang-undang atau dibenarkan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat