JOHOR BAHRU – Penggunaan iklan berbayar atau boosting di media sosial bertujuan memastikan maklumat kerajaan sampai kepada rakyat dan bukannya untuk meningkatkan imej mana-mana pemimpin, kata pegawai yang menguruskan media sosial Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, seorang penulis dengan nama Hanirail tampil menjawab kritikan yang dibangkitkan berhubung penggunaan iklan media sosial melibatkan akaun rasmi Menteri Besar Johor.
Menurut beliau, pasukan media kerajaan negeri bukan sekadar menghasilkan kandungan, sebaliknya memikul tanggungjawab untuk memastikan maklumat berkaitan dasar, bantuan dan pelbagai inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.
“Sebagai orang yang menguruskan media MB, tugas kami bukan hanya menghasilkan kandungan. Tanggungjawab kami adalah memastikan maklumat mengenai dasar, bantuan dan pelbagai inisiatif kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat.
“Termasuklah menjelaskan fakta apabila timbul fitnah dan naratif yang mengelirukan,” katanya.
Beliau berkata penggunaan media sosial dan iklan digital kini menjadi antara kaedah komunikasi paling berkesan memandangkan masyarakat memperoleh maklumat melalui telefon pintar dan platform digital.
“Hari ini semuanya di hujung jari. Orang ramai mendapatkan berita, kemas kini dan maklumat melalui telefon masing-masing.
“Tidak semua orang menonton televisyen dan tidak semua membaca akhbar. Sebab itu media sosial dan Facebook Ads menjadi salah satu cara paling praktikal untuk menyampaikan maklumat dengan lebih cepat dan bersasar,” katanya.
Menurut Hanirail, dalam keadaan penyebaran maklumat yang begitu pantas, adalah penting bagi kerajaan dan pemimpin untuk berkomunikasi secara langsung, jelas dan konsisten dengan rakyat bagi mengelakkan salah faham serta penyebaran maklumat tidak tepat.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengiklanan politik di platform Meta tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana tertakluk kepada proses pengesahan identiti, pendedahan pihak yang membiayai iklan dan pematuhan kepada polisi syarikat itu.
“Kalau langgar peraturan, iklan boleh ditolak dan akaun juga boleh dikenakan sekatan,” katanya.
Dalam hantaran sama, Hanirail turut menegaskan penggunaan iklan media sosial bukan sesuatu yang eksklusif kepada Barisan Nasional atau kerajaan Johor, sebaliknya turut diamalkan oleh parti-parti politik lain.
“DAP guna, PH guna, PN guna, BN pun guna. Semua ada strategi komunikasi dan pemasaran masing-masing,” katanya.
Penjelasan itu dibuat susulan perdebatan di media sosial mengenai penggunaan iklan berbayar oleh akaun berkaitan kepimpinan negeri Johor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung bulan depan.


