Johor bukti kepimpinan berkesan mampu bawa kemajuan pesat – Salleh Said Keruak

JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan Johor sebagai contoh terbaik bagaimana kepimpinan yang kukuh, dasar yang mantap dan pelaksanaan yang berkesan mampu menghasilkan kemajuan ekonomi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Beliau yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata, pemerhatian itu dibuat selepas meluangkan masa selama tiga hari di Johor baru-baru ini sebagai sebahagian daripada delegasi UMNO Sabah.

Menurutnya, sepanjang lawatan tersebut beliau berpeluang bertemu pelbagai pihak berkepentingan serta melihat sendiri pembangunan yang sedang berlangsung di seluruh negeri.

“Apa yang paling mengagumkan saya ialah kadar pertumbuhan ekonomi yang pesat. Aktiviti pembinaan dapat dilihat hampir di mana-mana, daripada taman perindustrian dan pembangunan perumahan hingga ke pusat komersial serta projek infrastruktur utama,” katanya dalam satu kenyataan.

Salleh berkata, tahap pembangunan yang dicapai Johor bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan yang baik, keyakinan pelabur yang tinggi serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Johor kini muncul sebagai antara destinasi pelaburan utama negara dengan pelbagai inisiatif strategik yang membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura membantu menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan masa depan ekonomi negeri,” katanya.

Dalam masa sama, Salleh berkata beliau turut berpeluang bertemu ramai rakyat Sabah yang bekerja di Johor dalam pelbagai sektor ekonomi.

Katanya, perkembangan itu membuktikan kemajuan ekonomi negeri tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Johor, malah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat dari negeri lain termasuk Sabah.

“Saya berasa gembira melihat anak-anak Sabah mendapat manfaat daripada peluang pekerjaan yang diwujudkan hasil pertumbuhan ekonomi negeri ini,” katanya.

Beliau turut memuji kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menurutnya memberi fokus kepada usaha menarik pelaburan, menambah baik infrastruktur serta memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap.

“Di bawah kepimpinan Onn Hafiz Ghazi, kerajaan Johor memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan, menambah baik infrastruktur dan memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap. Hasilnya jelas dapat dilihat di lapangan,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh berkata penghargaan wajar diberikan kepada kerajaan Johor yang diterajui Barisan Nasional atas komitmen berterusan terhadap pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, manfaat kemajuan tersebut dapat dilihat menerusi peningkatan peluang pekerjaan, peluang perniagaan serta kemudahan awam yang lebih baik untuk rakyat.

“Lawatan saya mengukuhkan satu pengajaran yang mudah, apabila kepimpinan mempunyai fokus yang jelas, pentadbiran dilaksanakan dengan berkesan dan pelan pembangunan dilaksanakan secara konsisten, kemajuan sebenar dapat dicapai.

“Johor hari ini menjadi contoh yang baik tentang bagaimana kepimpinan yang kukuh, dasar yang mantap dan pelaksanaan yang berkesan mampu menghasilkan manfaat yang bermakna kepada rakyat dan negeri,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat