KUALA LUMPUR – Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa menghalang perintah lepas dan bebas (DNA) kepada pelaku rasuah yang kesnya diselesaikan tanpa melalui pengadilan di mahkamah.
Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, ini kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhak berbuat demikian, selari peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagaimanapun menjelaskan keputusan bagi kes sedemikian mungkin tidak memihak kepada pelaku, jika ia melalui proses perbicaraan penuh di mahkamah.
“Ia menjadi prerogatif SPRM dan tertakluk kepada proses mahkamah apabila kes dibawa ke mahkamah.
“Mahkamah akan membuat keputusan sewajarnya jika kes terbabit dibicarakan, namun keadaan sebaliknya jika ia tidak melalui proses berkenaan.
“Saya tidak pasti sama ada ini akan menjadi duluan yang bakal mencetuskan persepsi atau tidak, tetapi undang-undang membenarkan SPRM berbuat demikian.
“Badan Kehakiman tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengulas prerogatif SPRM,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Siri Syarahan Tun Zaki Azmi di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) lapor BH pada Jumaat.
Hadir sama, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan Tun Md Raus Sharif; bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Mohammad Faiz Azmi serta Presiden AIAC, Datuk Mary Lim Thiam Suan.



