Takiyuddin hantar surat kepada Johari maklumkan Hamzah kembali jadi Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR – Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, bagi memaklumkan bahawa 61 Ahli Parlimen pembangkang bersetuju melantik Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.

Dalam surat berkenaan, Takiyuddin memaklumkan keputusan itu dibuat susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang.

Kata Takiyuddin, Johari telah dimaklumkan mengenai perkara itu pada 10 Jun lalu.

“Saya ingin memaklumkan seramai 61 Ahli Parlimen pembangkang bersetuju agar Hamzah dilantik sebagai ketua pembangkang yang baharu berkuat kuasa hari ini.

“Semoga mendapat perhatian serta kerjasama baik pihak tuan dan kami mengucapkan setingi-tinggi penghargaan,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu, menurut FMT.

Senarai 61 Ahli Parlimen itu turut dilampirkan bersama surat tersebut.

Selasa lalu, Johari memberitahu bahawa beliau belum menerima surat rasmi daripada blok pembangkang yang memaklumkan pelantikan semula Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

Samsuri yang juga Pengerusi PN, mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang daripada Hamzah bulan lalu selepas bekas timbalan presiden Bersatu itu dipecat susulan krisis kepimpinan dengan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, minggu lalu Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengumumkan bahawa Hamzah akan kembali sebagai Ketua Pembangkang, dua bulan selepas melepaskan jawatan itu.

Ketika berucap pada Konvensyen Reset di Tanah Merah, Hadi berkata PAS telah mendapatkan pandangan Ahli Parlimennya serta wakil rakyat yang berpihak kepada Hamzah, termasuk 13 yang masih bersama Bersatu.

Pengumuman Hadi dibuat selepas Pas menamatkan kerjasama politiknya dengan Bersatu pada Isnin lalu. Muhyiddin kemudian berkata partinya bersedia mencabar Pas dalam PRN akan datang.

Namun, kedua-dua parti masih kekal sebagai komponen PN, yang malam kelmarin menyingkirkan dua pemimpin kanan Bersatu daripada jawatan penting gabungan pembangkang itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat