KUALA LUMPUR – Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Dr Tengku Fakhruddin Tengku Md Fauzi menegaskan bahawa Pas sedang mengatur strategi politik yang tidak dijangka oleh musuhnya.
Justeru katanya, pihak yang menumpang jentera Pas sedang kepanasan.
Sementara itu, Tengku Fakhruddin yang juga Adun Sura menyelar naratif jahat Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang didakwa cuba pecahkan ahli Pas antara golongan ulama dan bukan ulama.
“Cuba sebut dengan jelas siapa ulama Pas yang mintak untuk sokong Bersatu?
“Adakah Tuan Guru Presiden bukan ulama? Kalau tak rujuk Tuan Guru Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) ahli Pas nak rujuk siapa lagi?
“Apa sahaja yang berlaku semua petugas jentera Pemuda Pas kena berada di belakang keputusan kepimpinan dan parti.
“Kami Pemuda Pas bersedia jadi benteng pertahankan kepimpinan ulama dan hala tuju parti,” katanya.
Terdahulu mengulas penyingkiran pemimpin kanan Bersatu daripada Perikatan Nasional (PN) Tun Faisal mendakwa, apabila ini berlaku, apakah komen sahabat-sahabat beliau dalam Pas, iaitu dalam kalangan kem ulama, mengenai permainan politik Kluster Publika ini?
Menurutnya, kata mereka, “Bersatu kena segera ambil tindakan. Kami dalam Pas dah hadapi golongan gila ini, buat peraturan ikut suka mereka, main belakang-belakang, langgar semua peruntukan Perlembagaan Pas dan buat tafsiran sendiri. Langgar Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulama. Merekalah yang merosakkan Pas dan menyebabkan Pas dilihat jahat, tidak jujur dan bermain politik kotor, berbeza sangat dari ajaran Islam.
Jadi Tun Faisal berkata, respon beliau kepada rakan-rakannya dalam Pas ini, “Insya-Allah, Bersatu komited untuk lawan dan pertahankan PN.
“Tapi saya pun harap rakan-rakan dalam Pas juga boleh bantu hentikan kerakusan dan kegilaan Kluster Publika ini dari dalam,” tegasnya.


