KUALA LUMPUR, 18 Jun – PAS sepatutnya menilai semula kedudukannya sendiri dalam Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bukannya cuba menentukan masa depan Bersatu dalam gabungan berkenaan.
Pandangan itu disuarakan penganalisis politik dan bekas Setiausaha Kerja Barisan Nasional Pulau Pinang, Azizi Safar yang mempersoalkan logik naratif semasa berhubung kedudukan Bersatu dalam PN.
Menurut beliau, fakta yang tidak boleh diketepikan ialah Jawatankuasa PAS Pusat telah membuat keputusan secara sehala untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
“Secara prinsipnya, apabila sesebuah parti memutuskan hubungan dengan rakan kongsi gabungan, parti yang membuat keputusan itu sepatutnya menentukan hala tujunya sendiri sama ada mahu kekal dalam gabungan atau keluar membawa haluan masing-masing,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Beliau berkata, apa yang menimbulkan persoalan ialah apabila kedudukan Bersatu pula kini menjadi topik perbahasan dan terdapat desakan supaya parti itu disingkirkan daripada PN.
Menurut Azizi, naratif berkenaan semakin mendapat perhatian selepas beberapa pemimpin PAS menyatakan bahawa masa depan Bersatu akan ditentukan oleh parti-parti komponen dalam PN.
“Jika PAS yang memilih untuk menamatkan kerjasama, tidakkah lebih konsisten dan wajar sekiranya PAS sendiri yang menentukan kedudukannya dalam PN, bukannya cuba mengatur kedudukan Bersatu dalam gabungan?” soalnya.
Beliau berpandangan isu sebenar yang perlu diberi perhatian bukanlah mengenai siapa yang patut disingkirkan daripada PN, tetapi siapa yang terlebih dahulu mengambil keputusan memutuskan hubungan kerjasama politik.
Katanya, mengalihkan fokus kepada kemungkinan penyingkiran Bersatu hanya akan mengaburkan persoalan pokok yang menjadi punca kepada kemelut berkenaan.
“Persoalan paling tuntas bukan siapa yang patut disingkirkan, tetapi siapa yang sebenarnya memilih untuk memutuskan jambatan kerjasama terlebih dahulu,” katanya.
Azizi menegaskan bahawa sebarang perbincangan mengenai masa depan PN perlu berasaskan prinsip dan konsistensi politik, bukannya naratif yang mengalihkan perhatian daripada tindakan asal yang mencetuskan konflik antara kedua-dua parti.


