KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Johor mempersoalkan siapakah calon Menteri Besar yang akan ditampilkan Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sehingga kini PH masih belum mengumumkan calon Menteri Besar mahupun menawarkan pelan yang jelas kepada rakyat Johor menjelang pilihan raya negeri itu.
Menurut beliau, rakyat berhak mengetahui siapa yang akan menerajui pentadbiran negeri dan apakah hala tuju yang dibawa PH sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Johor, lapor Sinar Harian di Johor Bahru.
“Mereka bercakap soal perubahan, tetapi rakyat mahu tahu siapa calon Menteri Besar mereka. Sampai hari ini masih tiada jawapan yang jelas diberikan kepada rakyat.
“Bukan itu sahaja, saya juga tidak melihat sebarang idea pembangunan baharu atau perancangan yang boleh membawa Johor ke tahap lebih tinggi berbanding apa yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini,” katanya di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana, di Johor Bahru pada Rabu.
Dalam pada itu, Onn Hafiz mendakwa lebih banyak kritikan terhadap kerajaan negeri berbanding tawaran baharu atau penyelesaian terhadap isu dihadapi rakyat.
“Setakat ini apa yang saya lihat, mereka lebih banyak menabur fitnah, memainkan fakta yang tidak tepat dan menghasut rakyat dengan perkara-perkara yang tidak betul berbanding mengemukakan idea atau dasar yang boleh memajukan Johor.
“Rakyat Johor cukup matang untuk menilai. Mereka boleh membezakan antara fakta dan fitnah serta menentukan siapa yang benar-benar mempunyai perancangan terbaik untuk masa depan negeri ini,” katanya.
Sebaliknya, beliau menegaskan kerajaan negeri pimpinan BN mempunyai rekod pencapaian yang jelas, termasuk kejayaan menarik pelaburan bernilai lebih RM110 bilion ke Johor.
Menurut Onn Hafiz, kejayaan tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya diterjemahkan kepada pelbagai bantuan dan program kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan empat fasa Bantuan Kasih Johor (BKJ) selain pelbagai inisiatif lain seperti bantuan perumahan, bantuan sewa rumah, bantuan pembelian rumah serta program sifar miskin tegar.



