TUMPAT – Peniaga yang berniaga di Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung di Tumpat, Kelantan boleh mengaut hasil jualan kira-kira RM1,000 hingga RM3,000 secara purata pada setiap hari ia dibuka iaitu pada setiap Jumaat dan Sabtu.
Pengurus Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung Saidi Mamat berkata seramai kira-kira 1,000 hingga 2,000 orang akan datang ke pulau berkenaan pada setiap Jumaat manakala kira-kira 3,000 orang pada setiap hari Sabtu.
“Jika ada cuti sekolah yang panjang dan pengunjung bertambah, kami akan melanjutkan lagi hari Pulau Sri Tanjung dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai datang,” katanya.
Bagi Pengurus Pemasaran Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung Mohamad Mazlan Ariff pula, ada seramai 48 orang peniaga menjual pelbagai jenis makanan, minuman dan produk di dalam kawasan pulau setiap kali ia dibuka.
Kesemua mereka yang berniaga di sini ialah mereka yang duduk di dalam lingkungan 12 buah pulau di dalam kawasan Delta Sungai Kelantan yang kebanyakannya ialah nelayan persisir pantai.
“Kesemua mereka duduk di pulau dan datang berniaga untuk pendapatan tambahan pada setiap hujung minggu di Pulau Sri Tanjung yang menjadi ikon pelancongan negeri Kelantan sekarang ini,” kata Mohamad Mazlan.
Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung sudah dibuka sejak tahun 2022 sebagai satu lokasi pasar terapung dengan identiti Malaysia untuk memberikan pilihan kepada warga negara Malaysia datang berkunjung berbanding ke Hatyai di negara jiran, Thailand.
Sejak empat hari lepas sahaja, sudah lebih 60,000 orang berkunjung ke pulau pelancongan itu.
Saidi berkata di pulau itu, makanan yang dijual ialah makanan tradisional Kelantan, produk kesenian dan kraftangan negeri Kelantan serta ada diadakan aktiviti untuk orang ramai seperi sukaneka, tarik tali dan pertandingan tiup belon.

“Jika seorang peniaga boleh mendapat kira-kira RM2,000 pada hari pasar terapung dibuka setiap minggu, sebulan mereka boleh mendapat kira-kira RM16,000,” katanya.
Menurut beliau, bagaimanapun, ramai pengunjung datang dari luar negeri Kelantan menaiki bas persiaran dan kebiasaan pengunjung yang datang lebih ramai dari kebiasaan.
“Ia memberikan rezeki yang bermanfaat untuk para peniaga di Pasar Terapung Pulau Sri Tanjung,” katanya.


