KUALA LUMPUR – Kedudukan Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) akan diuruskan mengikut peruntukan perlembagaan dan saluran yang sewajarnya.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari berkata, sudah tentu Pas dan Bersatu tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama berikutan keputusan yang dibuat semalam.
Jelas beliau, Pas tidak mengambil keputusan berdasarkan sentimen atau kepentingan jangka pendek, sebaliknya berdasarkan penilaian terhadap kemampuan sesuatu kerjasama untuk mencapai matlamat yang lebih besar iaitu penyatuan ummah dan kestabilan politik negara.
“Ia bukan menggembirakan tetapi ia ubat pahit yang perlu ditelan demi kemaslahatan yang lebih besar.
“Perkara yang paling utama bagi Pas ialah penyatuan ummah. Apabila Bersatu di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN mengambil sikap menentang kemasukan parti-parti seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra walaupun kertas cadangan sudah disiapkan, tindakan tersebut jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini.
“Ditambah pula dengan kronologi sikap Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan, keadaan itu telah menjejaskan moral jentera Pas untuk terus bekerja bersama Bersatu dalam pilihan raya akan datang,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.



