Semua Pembesar Dibenarkan Masuk, Sidang Khas DKU Dijangka Tabal Tunku Nadzaruddin Sebagai Yang di-Pertuan Besar Baharu

TAMPIN, – Semua pembesar adat yang dijemput menghadiri Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin akhirnya dibenarkan memasuki kawasan balai selepas berlaku sedikit ketegangan di pintu masuk melibatkan pihak polis pagi ini.

Terdahulu, polis dilaporkan menutup pintu masuk utama ke Balai Rasmi Tunku Besar Tampin bagi menghalang kemasukan tetamu ke sidang khas tersebut.

Keadaan bagaimanapun berubah selepas Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin, Tunku Dato’ Seri Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dilaporkan menegur keras pegawai polis yang bertugas dan mengarahkan supaya semua Undang Yang Empat serta Dato’ Shahbandar dibenarkan memasuki kawasan balai.

Selepas beberapa minit perbincangan, pihak polis akhirnya membuka laluan kepada rombongan pembesar negeri untuk memasuki kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, petugas media dan orang ramai masih tidak dibenarkan memasuki kawasan balai sehingga berita ini ditulis.

Turut kelihatan berada di lokasi ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.

Selain itu, turut kelihatan memasuki Balai Rasmi Tunku Besar Tampin ialah Yang Amat Mulia Tengku Puan Panglima Besar, Tunku Puteri Puan Sri Dato’ Seri Jawahir binti Almarhum Tuanku Ja’afar bersama suaminya, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar, Tengku Azlan ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muazzam Shah.

Tunku Jawahir merupakan kerabat Almarhum Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Sidang khas DKU yang berlangsung hari ini dijangka akan menabalkan YAM Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Perkembangan itu sekali gus menjadikan sidang khas berkenaan sebagai antara detik paling penting dalam krisis perlembagaan Negeri Sembilan yang sedang berlarutan ketika ini.

Sidang khas tersebut berlangsung susulan pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar serta tafsiran kuasa yang diperuntukkan kepada Undang Yang Empat di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis berhubung tindakan awal mengawal kemasukan ke balai berkenaan, manakala keputusan Sidang Khas DKU masih ditunggu. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat