PAS Dakwa Kenyataan Bersatu Mengenai Krisis Negeri Sembilan, Perlis Mengelirukan

CYBERJAYA — PAS menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia terhadap Setiausaha Agung parti itu, sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak tepat, mengelirukan dan berniat mencemarkan kredibiliti parti berkenaan.

Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dakwaan kononnya PAS tidak memberikan sebarang maklum balas sepanjang krisis berlaku adalah fitnah yang tidak berasas sama sekali.

Menurut beliau, PAS masih menyimpan rekod komunikasi terperinci antara Setiausaha Agung PAS dan Setiausaha Agung Bersatu, malah bersedia untuk mendedahkannya melalui platform yang lebih sesuai.

“Fakta yang tidak disebut ialah mesej Setiausaha Agung Bersatu kepada Setiausaha Agung PAS pada 5 Mei 2026 hanya memaklumkan keputusan mesyuarat tergempar Biro Politik Bersatu Pusat untuk mengubah pendirian,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial rasmi beliau.

Beliau mendakwa tindakan tersebut bertentangan dengan pendirian Perikatan Nasional yang sebelum itu dipersetujui bersama berhubung krisis politik di Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Fadhli turut mendakwa Bersatu menghantar nama calon Menteri Besar Perlis tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa Presiden PAS sengaja tidak hadir mengadap Tuanku Raja Perlis pada 25 Oktober 2025.

“Untuk rekod, tidak pernah Presiden PAS dititah untuk mengadap pada tarikh tersebut, mahupun pada mana-mana tarikh sebelum atau selepas kemelut Menteri Besar Perlis berlaku,” katanya.

Ahmad Fadhli turut menyindir pihak tertentu agar tidak memindahkan kegagalan mengurus organisasi kepada pihak lain semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri.

Kenyataan tersebut dipercayai susulan ketegangan terbuka antara PAS dan Bersatu berkaitan beberapa isu dalaman melibatkan pentadbiran negeri serta pendirian dalam Perikatan Nasional.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat