KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian sempena sambutan Aidiladha bagi menyampaikan ucapan Eid Mubarak serta salam persaudaraan daripada rakyat Malaysia kepada rakyat Iran.
Menurut Anwar, beliau turut menzahirkan harapan agar Iran kembali aman dan segala ketegangan serta pertumpahan darah dapat dihentikan menerusi jalan damai, hikmah dan diplomasi yang bertanggungjawab.
“Malaysia kekal berpendirian tegas mengecam sebarang tindakan serangan dan pencerobohan termasuk yang melibatkan serangan dron serta tindakan ketenteraan Israel-Amerika Syarikat yang hanya akan terus mengorbankan nyawa rakyat yang tidak berdosa,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam perbualan tersebut, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada pihak Iran atas dukungan dan kerjasama dalam membantu urusan pelepasan kapal Malaysia di Strait of Hormuz baru-baru ini.
Beliau berkata, sikap saling menghormati dan semangat persahabatan antara kedua-dua negara perlu terus diperkukuhkan demi hubungan bilateral yang lebih erat.
Sementara itu, Presiden Iran dikatakan menghargai pendirian konsisten Malaysia yang terus menjunjung keamanan, keadilan dan prinsip kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Masoud Pezeshkian turut mengundang Anwar untuk mengadakan lawatan rasmi ke Tehran bagi memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Iran.
“Insya-Allah, saya akan mengatur jadual untuk ke Iran pada masa yang sesuai. Iran sentiasa dekat di hati saya, apatah lagi ramai sahabat dan kenalan di sana yang terus mempertahankan nilai ilmu, persaudaraan dan perjuangan kemanusiaan sejagat,” kata Anwar lagi.



