KUALA LUMPUR – Umno berpandangan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan secara konsisten, tanpa mengira kedudukan politik atau identiti mana-mana individu yang terlibat.
Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan, dalam isu desakan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer supaya Perdana Menteri memastikan seseorang dituduh semula, persoalan asas yang perlu diberikan perhatian ialah kedudukan kuasa pendakwaan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan keperluan untuk mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan berkaitan kes individu.
“Pertama, Perdana Menteri bukan Pendakwa Raya. Dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara, yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan, tertakluk kepada kerangka perlembagaan dan undang-undang yang berkenaan.
“Keputusan pendakwaan hendaklah dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang, fakta dan bukti, bukan tekanan atau kehendak politik.
“Kedua, prinsip kebebasan pendakwaan mesti dipertahankan secara konsisten. Kita tidak boleh menolak campur tangan politik dalam pendakwaan, tetapi pada masa yang sama mendesak Perdana Menteri memastikan pertuduhan dikenakan semula terhadap individu tertentu kerana tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan. Prinsip kebebasan pendakwaan mesti dihormati dalam amalan politik, bukan sekadar dalam cadangan perubahan institusi.
“Ketiga, dakwaan pilih kasih perlu dinilai berdasarkan bukti. Mana-mana pihak berhak mempersoalkan keputusan pendakwaan dan menuntut penjelasan yang munasabah.
“Namun, perbezaan keputusan antara kes tidak dengan sendirinya membuktikan berlakunya campur tangan politik atau layanan berat sebelah,” tegas Azalina.
Justeru, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu, dalam kes ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memberikan penjelasan mengenai alasan permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).
“Kritikan terhadap sesuatu keputusan perlu disokong oleh fakta dan asas yang jelas, bukannya andaian atau tekanan politik semata-mata. Keempat, Umno mempertahankan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang.
“Tiada sesiapa yang harus diberikan kekebalan daripada undang-undang hanya kerana jawatan atau kedudukan politik.
“Pada masa yang sama, mana-mana individu, termasuk pemimpin Umno, berhak mendapat proses undang-undang yang adil dan tidak boleh dijadikan sasaran pendakwaan semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik.
“Prinsip keadilan mesti terpakai kepada semua, sama ada pemimpin kerajaan, pembangkang atau rakyat biasa. Kelima, proses kehakiman mesti dihormati,” tegas Ahli Parlimen Pengerang itu.
Manakala katanya, berhubung cabaran terhadap keputusan pendakwaan dalam kes Yayasan Akalbudi, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan prosiding semakan kehakiman.
“Prosiding berkaitan masih berjalan dan persoalan undang-undang yang dipertikaikan hendaklah diputuskan oleh mahkamah. Desakan politik supaya Perdana Menteri menentukan tindakan pendakwaan bukan pengganti kepada proses tersebut.
“Umno menghormati hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran undang-undang yang tersedia, dan pada masa yang sama menegaskan bahawa proses mahkamah mesti diberikan ruang untuk berjalan tanpa tekanan politik.
“Kebebasan pendakwaan, akauntabiliti institusi dan kesamarataan di sisi undangundang bukan prinsip yang boleh dipilih mengikut kepentingan politik,” ujarnya.
Tegas Azalina lagi, Umno akan terus mempertahankan prinsip bahawa undang-undang mesti ditegakkan secara adil, proses kehakiman mesti dihormati dan keputusan pendakwaan tidak seharusnya ditentukan oleh desakan politik terhadap manamana individu.


