Takiyuddin berdiam diri selama hampir seminggu punca Bersatu bertindak sendirian dalam isu Negeri Sembilan – Biro Politik Bersatu

KUALA LUMPUR – BERSATU mendedahkan tindakan dua ADUN parti itu menarik balik sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan dibuat selepas Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan gagal memberikan sebarang maklum balas selama hampir seminggu terhadap cadangan supaya Perikatan Nasional (PN) menarik sokongan kepada 14 ADUN UMNO.

Biro Politik BERSATU berkata, cadangan itu dikemukakan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas UMNO kembali mengekalkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Menurut kenyataan itu, kemelut berkenaan pada asalnya bermula selepas 14 ADUN BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Susulan itu, lima ADUN PN dilaporkan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan 14 ADUN BN bagi membentuk gabungan 19 kerusi, iaitu majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri 2023, PH memiliki 17 kerusi, BN 14 kerusi manakala PN lima kerusi.

Bagaimanapun, keadaan berubah selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan UMNO mengambil ketetapan bahawa BN kekal bersama Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.

Perkembangan itu menyebabkan Azmin beberapa kali menghubungi Takiyuddin bermula 28 April 2026 bagi membincangkan pendirian bersama PN selepas kenyataan Zahid berhubung kedudukan BN di Negeri Sembilan.

BERSATU berkata, apabila UMNO kekal mendukung kerajaan PH di Negeri Sembilan, tindakan ADUN PN terus bekerjasama dengan ADUN UMNO tidak lagi sesuai kerana ia boleh memberi gambaran salah bahawa PN bersetuju dengan tindakan UMNO menyokong PH.

Bagi mengelakkan kekeliruan itu, Azmin mencadangkan supaya PN menarik diri daripada memberikan sokongan kepada 14 ADUN UMNO.

Namun, menurut BERSATU, tiada jawapan diterima daripada Setiausaha Agung PAS walaupun usaha menghubungi dan mengadakan perbincangan dibuat pada 28 April, 29 April dan 30 April 2026.

“Dari 28 April sehingga 5 Mei 2026, PAS gagal untuk memberikan sebarang maklum balas kepada cadangan BERSATU untuk menarik sokongan setelah UMNO kembali menyokong kerajaan PH di Negeri Sembilan.

“Asas pendirian BERSATU adalah jelas dan konsisten bahawa sebarang kerjasama dengan UMNO boleh diadakan dengan syarat parti itu memutuskan hubungan dengan PH,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, dua ADUN BERSATU iaitu Ketua Pembangkang Negeri Sembilan merangkap ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker serta ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad menarik balik sokongan kepada BN dan kembali menegaskan kedudukan sebagai pembangkang pada 5 Mei 2026.

BERSATU juga mengingatkan PAS bahawa isu tersebut telah dibangkitkan oleh Ketua Pemuda PAS dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei 2026.

“Azmin telah memberikan penjelasan panjang lebar mengenai kronologi peristiwa dan perbincangan dengan Takiyuddin sebelum dan selepas kemelut berkenaan,” tegas Biro Politik BERSATU.

Menurut BERSATU, mesyuarat MT PN kemudian mengambil maklum penjelasan tersebut tanpa sebarang bantahan.

“Maka, tuduhan bahawa BERSATU mengambil tindakan secara bersendirian dalam menangani krisis politik di Negeri Sembilan adalah tidak benar sama sekali,” menurut kenyataan itu. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat