MCMC perkukuh kerjasama strategik tempatan dan global dalam memerangi penipuan dalam talian

KUALA LUMPUR, 24 Mei 2026 – Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan majlis penutupan Inter-Agency Retreat on Combatting Online Scam 2026 yang berlangsung di The Vertical, Connexion Conference & Event Centre (CCEC).

Permukiman selama tiga hari bermula 22 Mei ini merupakan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM), bertujuan untuk memperkukuh usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian.

Program ini turut disertai pelbagai agensi dan pihak berkepentingan utama termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia (CSM), syarikat telekomunikasi, institusi kewangan, penyedia platform digital dan badan kawal selia serta pemain industri.

Antara pengisian sepanjang permukiman ini termasuk meningkatkan kerjasama perkongsian maklumat serta memperkemas tindakan bersepadu dalam menangani ancaman penipuan dalam talian yang semakin kompleks dan merentas pelbagai platform digital.

Pelbagai isu dibincangkan termasuk trend dan modus operandi scam semasa, cabaran penguatkuasaan dan perundangan, penggunaan analitik data serta usaha memperkukuh kesedaran awam secara berterusan. Fokus turut diberikan kepada pengukuhan kerjasama antara agensi dan industri bagi menangani penyalahgunaan saluran komunikasi dan platform digital seperti panggilan dan SMS penipuan, pautan memudaratkan, penyalahgunaan nombor telefon, akaun bank keldai, penipuan pelaburan serta tawaran pinjaman tidak wujud.

YB Datuk Fahmi turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC diwakili Pengarah Urusan, Encik Abdul Karim Fakir Ali dengan Global Anti-Scam Alliance (GASA) diwakili Penasihat (Asia Tenggara), Encik Rajeshpal Singh Sandhu.

MoU tersebut merupakan langkah untuk memperluas kerjasama antarabangsa dalam usaha memerangi penipuan dalam talian, selain memberi fokus kepada perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik, pembangunan kapasiti, advokasi serta pemerkasaan kesedaran awam berkaitan ancaman scam digital.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman penipuan dalam talian serta menyokong usaha kerajaan membina ekosistem digital yang lebih selamat, dipercayai dan berdaya tahan.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat