KUALA LUMPUR – BERSATU mendakwa tuduhan kononnya parti itu mengkhianati PAS dalam isu pertukaran Menteri Besar Perlis adalah melampau kerana semua tindakan dibuat mengikut titah dan kuasa budi bicara DYMM Tuanku Raja Perlis.
Biro Politik BERSATU berkata, kemelut politik di Perlis sebelum ini telah diberikan ruang secukupnya oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail untuk diselesaikan secara harmoni antara PAS dan BERSATU.
Menurut kenyataan itu, Raja Perlis turut menitahkan supaya Presiden BERSATU dan Presiden PAS menghadap baginda pada 25 Oktober 2025 bagi membincangkan isu kedudukan Menteri Besar Perlis.
Bagaimanapun, menurut BERSATU, sesi menghadap itu terpaksa dibatalkan selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu.
“Presiden BERSATU telah bersedia untuk menghadap tetapi sesi menghadap terpaksa dibatalkan kerana Presiden PAS atas sebab-sebab tertentu tidak dapat hadir,” menurut kenyataan itu.
BERSATU berkata, selepas itu Raja Perlis menitahkan supaya kedua-dua parti mengemukakan nama calon Menteri Besar untuk dipertimbangkan baginda.
Menurut parti itu, BERSATU menjunjung titah Raja Perlis dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan baginda untuk menentukan sama ada Menteri Besar dipilih daripada PAS atau BERSATU mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
“Jadi, tuduhan bahawa BERSATU khianat adalah melampau kerana apa yang dilakukan oleh parti BERSATU dalam menjunjung titah DYMM Tuanku Raja Perlis adalah teratur dan beradab,” katanya.
BERSATU turut menafikan dakwaan bahawa ADUN-ADUN BERSATU menarik sokongan terhadap Menteri Besar daripada PAS.
Sebaliknya, menurut BERSATU, wakil rakyat parti itu hanya menyerahkan kepada kebijaksanaan Raja Perlis untuk menyelesaikan kemelut politik negeri tersebut berdasarkan kuasa budi bicara baginda.
Untuk rekod, walaupun PAS menuduh BERSATU mengkhianati parti itu dalam isu pertukaran Menteri Besar Perlis, rekod rasmi yang diumumkan sebelum ini menyatakan Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan atas faktor kesihatan.
Kemelut pertukaran Menteri Besar Perlis juga tidak berlaku dalam ruang kosong, sebaliknya didahului ketegangan politik dan hubungan pentadbiran negeri yang dilaporkan berlarutan sebelum ini.
SuaraTV sebelum ini melaporkan isu hubungan antara Istana Perlis dan Menteri Besar ketika itu telah menjadi perhatian susulan beberapa perkembangan, termasuk dakwaan ketegangan dalam urusan pentadbiran negeri serta pendedahan berkaitan rakaman audio yang mengundang kontroversi.
Malah, polemik tersebut turut dikaitkan dengan dakwaan bahawa Raja Perlis tidak lagi selesa dengan kedudukan Menteri Besar ketika itu, sebelum akhirnya berlaku proses pertukaran jawatan tersebut.
Latar itu menjadikan isu Perlis lebih kompleks daripada sekadar dakwaan bahawa BERSATU bertindak mengkhianati PAS, kerana keputusan akhir mengenai pelantikan Menteri Besar tetap terletak pada kuasa budi bicara Raja Perlis mengikut peruntukan undang-undang tubuh negeri.
Kenyataan Biro Politik BERSATU itu dikeluarkan susulan kenyataan Presiden PAS dalam sidang media di Rusila pada 22 Mei lalu yang membangkitkan beberapa isu untuk dipertimbangkan PAS dalam menilai semula hubungan dengan BERSATU. -SuaraTV.



