Latihan ketenteraan di pulau-pulau Pahang perlu dapat perkenan Tuanku Sultan – Tengku Mahkota Pahang

KUANTAN – Sebarang latihan dan eksesais ketenteraan di pulau-pulau dalam kawasan Negeri Pahang perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan Pahang, titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, baginda menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti latihan ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dirancang di kawasan kepulauan negeri itu kerana dikhuatiri boleh menggugat ekosistem alam sekitar.

“Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti ketenteraan tersebut akan menggugat ekosistem alam sekitar, flora dan fauna Negeri Pahang,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, Tengku Hassanal menegaskan baginda tidak menolak aktiviti ketenteraan yang bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengalaman anggota tentera.

Namun, baginda bertitah supaya semua latihan dijalankan secara terkawal, bertanggungjawab, selamat serta harmoni dengan alam sekitar dan semua pihak berkaitan.

“Justeru, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku bertitah agar pihak Angkatan Tentera Malaysia dan semua jabatan atau agensi berkaitan menyembah maklum dan mendapatkan perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang latihan dan eksesais ketenteraan di Negeri Pahang,” menurut kenyataan itu.

Baginda turut menegaskan bahawa semua pihak perlu mematuhi titah tersebut dan Kerajaan Negeri boleh mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku sebarang pelanggaran prosedur.

Kenyataan itu dikeluarkan dari Istana Abdulaziz, Kuantan hari ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat