KUALA LUMPUR – Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini tampil menjawab secara terbuka beberapa dakwaan yang dibangkitkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, termasuk berhubung krisis politik Negeri Sembilan, pertukaran Menteri Besar Perlis, isu disiplin ahli parti serta kedudukan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini, BERSATU menyatakan isu-isu berbangkit sepatutnya dibincangkan secara dalaman melalui meja musyawarah antara kedua-dua parti, bukannya diperdebatkan secara terbuka sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap parti itu.
Menurut kenyataan itu, BERSATU mengambil keputusan untuk memberikan penjelasan kepada umum selepas Presiden PAS sendiri membangkitkan isu tersebut dalam sidang media di Rusila pada 22 Mei lalu.
Mengenai pertukaran Menteri Besar Perlis, BERSATU menegaskan pelantikan Menteri Besar adalah kuasa budi bicara DYMM Tuanku Raja Perlis dan parti itu hanya menjunjung titah baginda selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
BERSATU turut mendedahkan bahawa Raja Perlis sebelum ini telah menitahkan Presiden BERSATU dan Presiden PAS menghadap baginda pada 25 Oktober 2025 bagi membincangkan isu kedudukan Menteri Besar, namun sesi itu dibatalkan selepas Presiden PAS tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu.
“Jadi, tuduhan bahawa BERSATU khianat adalah melampau kerana apa yang dilakukan oleh parti BERSATU dalam menjunjung titah DYMM Tuanku Raja Perlis adalah teratur dan beradab,” menurut kenyataan itu lagi.
BERSATU juga menolak dakwaan bahawa parti itu tidak mempunyai jentera pilihan raya dan hanya bergantung kepada calon. Sebaliknya, parti itu mendakwa menerima ratusan permohonan ahli baharu setiap hari dan sedang berkembang khususnya dalam kalangan anak muda.
Menurut BERSATU, kekuatan utama parti itu bukan sahaja terletak pada jentera, tetapi juga pada jenama parti dan rekod kepimpinan yang didakwa berjaya mengurus tadbir negara sebelum ini.
Dalam isu tindakan disiplin terhadap ahli parti, BERSATU menjelaskan tindakan terhadap beberapa wakil rakyat dibuat mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan Parti selepas siasatan dan pendengaran oleh Lembaga Disiplin.
BERSATU turut memaklumkan bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) melalui surat bertarikh 7 Mei 2026 telah mengesahkan tindakan parti itu adalah selaras dengan perlembagaan parti.
“Maka, PAS sebagai parti anggota dalam Perikatan Nasional sewajarnya menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman parti anggota yang lain berkaitan hal disiplin parti,” menurut kenyataan tersebut.
Mengulas kemelut politik Negeri Sembilan, BERSATU mendakwa Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, telah bekerjasama sejak awal bagi menguruskan situasi tersebut.
BERSATU bagaimanapun berkata pihaknya beberapa kali cuba mendapatkan pendirian PAS selepas UMNO memutuskan untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan, namun tidak menerima maklum balas.
Menurut kenyataan itu, BERSATU mencadangkan supaya PN menarik sokongan kepada 14 ADUN UMNO selepas parti itu kekal bersama PH di Negeri Sembilan kerana kerjasama tersebut tidak lagi sesuai dan boleh memberi gambaran salah bahawa PN menyokong tindakan UMNO bersama PH.
“Dari 28 April sehingga 5 Mei 2026, PAS gagal untuk memberikan sebarang maklum balas kepada cadangan BERSATU untuk menarik sokongan setelah UMNO kembali menyokong kerajaan PH di Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu lagi.
BERSATU turut menyangkal dakwaan bahawa parti itu bertindak bersendirian dalam isu Negeri Sembilan dan menegaskan penjelasan lengkap telah diberikan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu tanpa sebarang bantahan daripada ahli mesyuarat.
Selain itu, BERSATU turut menjelaskan pendiriannya berhubung kemasukan parti-parti lain ke dalam PN dengan menegaskan gabungan itu boleh terlebih dahulu mengadakan kerjasama pilihan raya sebelum mempertimbangkan keahlian rasmi parti-parti terbabit.
Menurut BERSATU, pendirian tersebut merupakan keputusan kolektif yang dicapai secara konsensus dalam mesyuarat MT PN demi kepentingan strategik gabungan berkenaan.
Di akhir kenyataan, BERSATU melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan yang dilemparkan Presiden PAS dan menegaskan bahawa semua perkara berkaitan dasar serta hala tuju PN sepatutnya dibincangkan dan diputuskan dalam semangat musyawarah di peringkat Majlis Tertinggi PN.



