KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berpendapat, inilah masanya untuk Kerajaan Madani memansuhkan peruntukan RM3.8 juta seorang untuk setiap Ahli Parlimen kerajaan.
Salurkan peruntukan itu melalui agensi kerajaan seperti mana yang kerajaan dakwa ia dilaksanakan di Parlimen yang diwakili oleh Ahli Parlimen Pembangkang.
“RM3.8 juta seorang Ahli Parlimen jika didarab dengan bilangan Ahli Parlimen Kerajaan jumlahnya ialah setengah billion! kata Ketua Penerangan Pas itu.
Fadhli berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Cadangan itu dilaporkan dibuat susulan keperluan menyemak semula perbelanjaan kerajaan, khususnya ketika beban subsidi dijangka meningkat dan memberi tekanan kepada kewangan negara.
Menurut laporan, pengurangan itu membabitkan perbelanjaan operasi kedua-dua kementerian, namun pihak Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa perkhidmatan asas tidak akan terjejas.
Cadangan pengurangan ini dilihat sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk mengekang perbelanjaan dan memastikan kemampanan fiskal, sejajar dengan usaha lebih luas dalam pengurusan kewangan negara menjelang pelaksanaan dasar berkaitan Belanjawan 2026.
Pengurangan perbelanjaan untuk sektor kesihatan dan pendidikan tinggi berkenaan adalah sebahagian cadangan MOF untuk penjimatan perbelanjaan mengurus (OE) bagi 2026 kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dengan jumlah keseluruhan RM10 bilion.
Menurut BH, menerusi satu panduan yang dikeluarkan Perbendaharaan yang dilihat oleh akhbar itu, langkah berkenaan adalah tindak balas kerajaan dalam menangani krisis Asia Barat.
Hal ini kerana, ketidakstabilan geopolitik dan peperangan di rantau Asia Barat, sekatan berterusan laluan utama Selat Hormuz yang menjadi laluan sekitar 20 peratus aliran minyak dunia telah mencetuskan gangguan kritikal kepada bekalan minyak global, sekali gus mengakibatkan lonjakan mendadak harga minyak mentah dunia.
Faktor luaran ini meningkatkan kos logistik antarabangsa, kos pengangkutan dan insurans, mencetuskan kenaikan harga tenaga dan memberi impak langsung kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.
Subsidi pada 2026 dijangka RM58.4 bilion berbanding bajet RM15 bilion
MOF mengeluarkan cadangan penjimatan itu kerana keperluan subsidi yang perlu ditampung oleh kerajaan dijangka meningkat sebanyak RM43.4 bilion kepada RM58.4 bilion berbanding peruntukan yang diluluskan dalam Belanjawan 2026 hanya sebanyak RM15 bilion.
Daripada jumlah keseluruhan RM10 bilion yang dicadangkan supaya dapat dijimatkan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi antara kementerian yang dicadangkan melaksanakan penjimatan OE tertinggi, masing-masing dianggarkan sebanyak RM3.06 bilion dan RM2.39 bilion.
Ia diikuti oleh Kementerian Dalam Negeri (RM674 juta), Perbendaharaan (RM664 juta), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (RM571 juta), Kementerian Pertahanan (RM508 juta) dan Kementerian Pendidikan (RM466 juta).
Panduan itu turut menyatakan Pejabat Belanjawan Negara (NBO) MOF sudah diarahkan untuk meneliti semula Anggaran Perbelanjaan Persekutuan Tahun 2026 dengan melaksanakan penyesuaian semula belanjawan.
Susulan itu, kementerian, jabatan dan agensi hendaklah menyusun semula keutamaan perbelanjaan dan membuat penjimatan OE daripada baki peruntukan 2026 dan diberi tempoh sehingga 15 Mei ini untuk mengemukakan cadangan penjimatan OE kepada NBO.



