KUALA LUMPUR – Umno telah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai tindakan Adun-Adun Barisan Nasional (BN) yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun kerana sikap beliau membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Susulan itu dalam mesyuarat biro politik malam tadi, Umno berpendirian untuk menghormati Adun-Adun BN yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Justeru menurut Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, satu pertemuan segera antara Biro Politik Umno dan Biro Politik Pakatan Harapan (PH) harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.
“Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam Membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan.
“Umno sentiasa berpegang teguh kepada asas Perlembagaan Umno menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan Negara.
“Umno memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius di kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya.



