Jalaluddin ke Putrajaya, sokongan 19 ADUN masih kekal, tunggu perkenan mengadap

SEREMBAN, 29 April — Sokongan 19 Ahli Dewan Undangan Negeri terhadap Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, difahamkan masih kekal meskipun timbul dakwaan bahawa beliau mula hilang sokongan dalam kemelut politik negeri itu.

Menurut sumber, surat rasmi bagi memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah dikemukakan semalam bagi mempersembahkan kedudukan sebenar sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

“Setakat ini sokongan 19 ADUN masih kekal. Hanya menunggu perkenan menghadap,” kata sumber itu.

Perkembangan itu sekali gus menepis spekulasi bahawa usaha menukar Menteri Besar Negeri Sembilan berdepan jalan buntu akibat perubahan pendirian dalam kalangan ADUN yang sebelum ini dikaitkan dengan sokongan kepada Jalaluddin.

Dalam masa sama, Jalaluddin dilaporkan akan berada di Putrajaya petang ini, namun belum dapat dipastikan sama ada kehadiran beliau mempunyai kaitan dengan pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pertemuan di peringkat pusat itu, sekiranya berlaku, dijangka menarik perhatian kerana kemelut Negeri Sembilan kini bukan sahaja melibatkan kedudukan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, tetapi turut menyentuh masa depan kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di negeri berkenaan.

Semalam, Jalaluddin dilaporkan berkata UMNO Negeri Sembilan telah memohon menghadap Tuanku Muhriz bagi memaklumkan secara rasmi pendirian parti itu berhubung penarikan sokongan terhadap Menteri Besar. Beliau turut menyatakan kesediaan untuk menghadap pada bila-bila masa sekiranya dititahkan.

Sebelum ini, 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin, manakala lima ADUN Perikatan Nasional pula dilaporkan menyokong Jalaluddin sebagai calon Menteri Besar baharu.

Ini menjadikan blok berkenaan mendakwa mempunyai 19 sokongan daripada keseluruhan 36 ADUN, melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kedudukan akhir kerajaan negeri masih bergantung kepada proses perlembagaan negeri dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat