KUALA LUMPUR,— Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) Kali Kelima dan Malam Puisi Mengukir Bangsa (MPMB) akan diadakan pada 10 Oktober 2026 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur dengan membawa tema Peradaban Melayu Mewajah Dunia.
Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (PABMM) dalam kenyataan berkata, majlis pelancaran program itu diadakan hari ini dan dirasmikan oleh Penaung Kehormat PABMM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut kenyataan itu, simposium berkenaan dianjurkan bersama Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman dan Kursi Pengajian Melayu dan Ketamadunan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Thai Global Business Administration Technological College (TGBC).
Pengerusi PABMM, Kamarazaman Yacob berkata, tema Peradaban Melayu Mewajah Dunia bertepatan dengan objektif pertubuhan itu untuk memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan di peringkat antarabangsa.
“Simposium selama satu hari ini akan turut diserikan dengan Malam Puisi Mengukir Bangsa.
“Puisi memainkan peranan penting sebagai wadah pembinaan identiti dan jati diri. Ia menjadi medium untuk menyuarakan semangat perjuangan, nilai kemanusiaan, dan aspirasi rakyat,” katanya.
Beliau berkata, puisi juga merupakan warisan budaya yang perlu dipelihara kerana di dalamnya tersimpan sejarah, bahasa dan kebijaksanaan nenek moyang yang membentuk sesebuah bangsa.
Kamarazaman turut memaklumkan, simposium dan malam puisi yang memasuki edisi kelima itu masih mengekalkan kerjasama bersama Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Rajamangala Thanyaburi, Asia Lecturers and Teachers’ Community Indonesia serta Pejabat Urusetia Bekas Perdana Menteri Kesembilan.
Katanya, Yayasan PEACE juga akan memberi sokongan dalam melaksanakan simposium pada tahun ini.
“Alhamdulillah, semakin banyak pihak menghargai usaha yang telah digerakkan untuk mengangkat martabat bahasa kebangsaan kita,” katanya.
SAABM kali ini masih mengekalkan pengisian seperti pembentangan kertas kerja, sidang pleno dan forum, manakala barisan panel akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dalam majlis sama, PABMM turut melancarkan buku bertajuk Bahasa dan Peradaban Membina Bangsa yang menghimpunkan bahan seperti kertas pembentangan, artikel dan pandangan daripada SAABM kali kedua pada 2023 dan kali ketiga pada 2024.
Menurut PABMM, setiap bab dalam buku itu mempunyai topik tersendiri termasuk kedudukan bahasa Melayu dalam perundangan, sains dan teknologi, media, pendidikan serta pelbagai bidang lain.
Buku berkenaan akan mula dipasarkan dalam masa terdekat dan diharap menjadi rujukan kepada pembuat dasar, ahli akademik, pelajar serta masyarakat umum.



