Oleh Zihan Zari
BERTAM – Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) 2026 Peringkat Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), di Lot Parkir Mr DIY, Taman Permatang Sintok, dekat sini pada Ahad telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung dan orang ramai.
Pengunjung turut menikmati penjimatan sehingga 40 peratus (%) menerusi jualan Happy Hour dari jam 11 pagi hingga 12 tengah hari, merangkumi diskaun 30 % oleh KUSKOP dan SKM serta tambahan diskaun khas 10 % yang diumumkan oleh ADUN Bertam, Dato Sri Reezal Merican.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, yang telah meluncurkan JMKU 2026 berkata program ini akan diperluaskan ke pelbagai lokasi lain di seluruh Pulau Pinang bagi memastikan manfaat kesejahteraan ini dirasai secara inklusif oleh seluruh rakyat.
“Selain memberi manfaat kepada pengguna, JMKU 2026 juga menjadi platform sokongan kepada peniaga kecil dan koperasi untuk merancakkan ekonomi domestik.
“Seramai 10 usahawan kecil dan koperasi menyertai jualan ini sebagai penjual, sekali gus memastikan masyarakat mendapat akses kepada produk berkualiti, segar dan pada harga kompetitif, ”katanya.
“Apabila koperasi kuat, kita mampu membantu mengawal harga, menstabilkan bekalan dan paling utama, keuntungan itu kembali semula kepada anggota serta masyarakat dalam bentuk dividen dan manfaat sosial. Inilah inti pati Ekonomi MADANI yang inklusif, adil dan menyeluruh, ”katanya lagi.
Ujarnya, JMKU merupakan antara inisiatif utama Kerajaan MADANI menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah daripada pasaran kepada rakyat.
Di bawah tema ‘Memperkasa Koperasi dan Usahawan, Memacu Ekonomi MADANI’,
jualan di Bertam ini menawarkan diskaun 20 peratus (%) bagi pelbagai barangan asas utama seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum serta ayam dan daging
segar.
Dalam pada itu, tawaran semasa Happy Hour ialah ayam RM15/ekor dijual dengan harga RM8/ekor; daging segar RM32/kilogram (kg) dijual RM19.80/kg; ikan termenung lemak RM14-RM18/kg dijual RM6/kg; dan ikan siakap RM15-RM18/kg dijual RM7.20 /kg sahaja.
Manakala udang harimau yang berharga RM40-RM50/kg dijual RM21/kg; beras RM22.50/5kg dijual RM13.50/kg; minyak masak RM31/5kg dijual RM18.60; dan telur RM8.50 (bagi 30 biji saiz C) RM5.10 (bagi 30 biji saiz C)
Selain jualan barangan asas, KUSKOP turut menyediakan lapan kaunter khidmat
bagi memberi bimbingan terus kepada usahawan berkaitan pemerkasaan perniagaan, nasihat serta akses pembiayaan.
Antara agensi di bawah KUSKOP yang menyediakan khidmat nasihat dan
pembiayaan usahawan ialah Bank Rakyat, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.
Selain itu, kkaunter khidmat pelanggan oleh SKM, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Turut hadir, ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze, ADUN; Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Noor Afifah Abdul Razak; dan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Hj. Baderul Amin Abdul Hamid. – SuaraTV.



