Anwar, Zahid setuju Jalaluddin jadi Menteri Besar baharu?

SEREMBAN,— Kemelut politik Negeri Sembilan memasuki fasa baharu apabila timbul spekulasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang mencari jalan tengah bagi mengekalkan kerangka Kerajaan Perpaduan di negeri itu, tetapi dengan pertukaran Menteri Besar.

Menurut sumber, perbincangan di peringkat tertinggi antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dipercayai berlangsung susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Antara formula yang dikatakan sedang dipertimbangkan ialah pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, sebagai Menteri Besar baharu dengan gabungan PH-BN dikekalkan.

Jika formula itu diterima, ia akan membolehkan Kerajaan Perpaduan terus mentadbir Negeri Sembilan tanpa perlu membuka ruang kepada pembentukan kerajaan baharu bersama Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, perkembangan itu masih belum disahkan secara rasmi oleh mana-mana pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya media hari ini hanya memberi jawapan ringkas bahawa sebarang perkembangan berhubung isu pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan diumumkan kemudian.

“Kita akan umum kemudian,” kata Anwar seperti dilaporkan Bernama.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid dilaporkan berkata 14 ADUN BN Negeri Sembilan bertindak atas keputusan mereka sendiri dan beliau akan bertemu ADUN terbabit serta Anwar bagi membincangkan krisis politik tersebut.

Spekulasi mengenai nama Jalaluddin muncul selepas BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dan menarik sokongan terhadap kepimpinannya.

BN mempunyai 14 kerusi di DUN Negeri Sembilan, manakala PH memiliki 17 kerusi dan PN lima kerusi.

Terdahulu, lima ADUN PN menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri, sekali gus menjadikan gabungan BN-PN memiliki 19 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.

Namun, jika Anwar dan Zahid memilih untuk mengekalkan kerjasama PH-BN, isu utama yang perlu diselesaikan ialah sama ada PH bersedia menerima pertukaran Menteri Besar daripada Aminuddin kepada wakil BN.

Langkah itu dilihat boleh meredakan krisis politik tanpa meruntuhkan struktur Kerajaan Perpaduan, tetapi pada masa sama memberi kemenangan politik besar kepada BN Negeri Sembilan yang sebelum ini secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Dalam konteks Negeri Sembilan, sebarang perubahan Menteri Besar akhirnya tertakluk kepada proses perlembagaan negeri, termasuk soal keyakinan majoriti ADUN dan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat