PN umum sokong Barisan Nasional tubuh kerajaan, Aminuddin telah hilang majoriti

SEREMBAN,— Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan hari ini mengumumkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Pengumuman itu dibuat selepas 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, sekali gus menyebabkan beliau didakwa telah kehilangan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

Kenyataan itu dibuat dalam sidang media di Hotel Royale Chulan, Seremban, yang diketuai Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, yang juga ADUN Labu.

Empat lagi ADUN PN ialah Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting), Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Paroi), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) dan Ridzuan Ahmad (Gemas).

Dalam sidang media itu, Hanifah berkata, lima ADUN PN bersedia bekerjasama dengan 14 ADUN BN bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri dan kelangsungan pentadbiran Negeri Sembilan.

Menurut beliau, perkembangan itu penting susulan krisis kepimpinan kerajaan negeri yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata, krisis berkenaan juga menyebabkan Sidang Dewan Undangan Negeri Sembilan terpaksa ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu.

“Ini membuktikan bahawa YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun gagal menangani krisis ini secara bertanggungjawab demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Hanifah berkata, krisis itu bertambah serius apabila 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan kepada Aminuddin dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

Sehubungan itu, katanya, lima ADUN PN menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan ADUN BN bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.

“Lima ADUN Perikatan Nasional sentiasa meletakkan kepentingan negeri dan rakyat sebagai agenda perjuangan kami.

“Sehubungan itu, lima ADUN Negeri Sembilan daripada Perikatan Nasional bersedia bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan untuk menjamin kestabilan kerajaan negeri dan kelangsungan pentadbiran bagi membangunkan negeri serta menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

Difahamkan, majlis penyerahan surat tawaran kerjasama penubuhan kerajaan negeri turut diadakan kepada wakil ADUN BN, Datuk Mustapha Nagoor, yang juga ADUN Palong, dalam sidang media sama.

Dengan sokongan lima ADUN PN kepada 14 ADUN BN, blok berkenaan kini mempunyai 19 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri Sembilan.

Pakatan Harapan pula mempunyai 17 kerusi.

Perkembangan itu sekali gus meletakkan kedudukan Aminuddin sebagai Menteri Besar dalam keadaan semakin tertekan, apabila beliau didakwa tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ADUN.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat